Mushaf Al-Hufazz standard hafazan semua pelajar tahfiz


PUTRAJAYA: Mushaf Al-Hufazz akan dijadikan panduan dan standard hafazan secara sistematik bagi semua pelajar tahfiz di seluruh negara termasuk di maahad tahfiz berdaftar dan tidak berdaftar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mushaf itu kini sedang ditambah baik dan dinaik taraf, malah ia dijangka siap pada pertengahan Ramadan ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebaik siap kelak, ia akan diedarkan ke seluruh maahad tahfiz di seluruh negara.

“Ketika ini, sebanyak 1,199 maahad tahfiz berdaftar di seluruh negara yang menempatkan seramai 175,00 pelajar tahfiz. Selain itu, terdapat juga seramai 125,000 pelajar tahfiz di maahad tahfiz tidak berdaftar.

“Ini bermakna, kita ada seramai kira-kira 300,000 pelajar tahfiz di seluruh negara ketika ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Wakaf Peringkat Kebangsaan dan penerbitan Mushaf al-Huffaz di Kompleks Nasyrul Quran, di sini malam tadi.

Katanya, beliau sendiri telah mencadangkan supaya Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa mengubah suai dan menambah baik mushaf itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Falah bersetuju mewakafkan 50,000 naskhah pertama cetakan mushaf itu untuk diwakafkan kepada maahad tahfiz berkenaan.

“Saya juga menyeru semua pihak supaya dapat menyemarakkan kempen wakaf al-Quran ini termasuk mushaf baharu itu terutama sepanjang Ramadan ini.

“Sementara kita menunggu ketibaan bulan Ramadan 10 hari lagi daripada sekarang maka, eloklah persiapkan diri untuk wakaf al-Quran ini. Insya-Allah tidak akan miskin mana-mana orang mewakaf, menderma atau infaq ke jalan Allah S.W.T,” katanya.

Pelancaran penerbitan Mushaf al-Huffaz ini adalah kesinambungan daripada Projek al-Quran Mushaf Malaysia yang diterbitkan untuk Huffaz (para penghafaz al-Quran) secara khusus sama ada mereka yang ingin, sedang dan telah menghafal al-Quran.

Yayasan Restu secara tersusun telah merancang dan akhirnya berjaya menyiapkan sebuah mushaf dalam tempoh setahun dan ia bakal dicetak setelah mendapat keizinan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelak.

Mushaf al-Huffaz adalah produk al-Quran yang diberi sentuhan gabungan beberapa metode dan kaedah hafazan serta ulangan bagi memudahkan proses hafazan dan ulangan ayat al-Qur’an yang telah dihafaz.

Mushaf ini menggunakan salah satu kaedah yang dicadangkan oleh al-Syarbini dalam teknik tikrar yang menjadikan tagsim (membahagi kepada beberapa bahagian) sebagai salah satu metode hafazan.

Maka, setiap halaman dalam mushaf ini dibahagikan kepada tiga bahagian dengan menggunakan tiga blok warna yang berbeza iaitu merah, kuning dan biru. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply