Murid tahun satu terima BAP minggu ini


JASIN: Murid tahun satu yang baharu memasuki sesi persekolahan 2024/2025 pada hari ini dan semalam akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bermula minggu ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 447,982 murid tahun satu di 8,903 buah sekolah seluruh negara bakal memperoleh RM150 setiap seorang dengan jumlah peruntukan bernilai RM67,197,300.

Beliau berkata, sebelum ini sebanyak RM702 juta daripada keseluruhan RM788 juta peruntukan disediakan kerajaan selesai diagihkan kepada murid tahun dua hingga pelajar tingkatan lima.

“Yang berbaki hanya BAP untuk murid tahun satu, jadi bantuan ini akan diagihkan pada minggu ini kepada anak-anak ini.

“Sudah ada dalam sistem kita sebab data untuk tahun satu sudah ada dalam sistem, jadi ibu bapa datang ke sekolah bertemu dengan guru besar atau sekolah untuk mendapatkan BAP.

“BAP ini sama juga seperti murid-murid yang lain, seorang murid akan menerima RM150. Peruntukan keseluruhan untuk tahun satu sebanyak RM67,197,300, itu BAP untuk tahun 1 dan melibatkan 8,903 sekolah di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja sempena pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau Dua di sini, hari ini.

Tambah Azman, seramai 3.65 juta juta murid dan pelajar kumpulan B memulakan sesi persekolahan hari ini.

Jelasnya, ia membabitkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Di Melaka sahaja, ia membabitkan 153,813 murid dan pelajar iaitu 66,547 pelajar sekolah menengah dan 87,256 murid sekolah rendah. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply