PRODUKTIVITI adalah satu perkataan yang asyik digunakan oleh ahli politik dan kapitalis setiap kali ada wacana dan perbincangan tentang kenaikan gaji minimum.

Setiap kali Parti Sosialis Malaysia (PSM) ataupun jaringan-jaringan pekerja mengangkat agenda kenaikan gaji atas sebab paras gaji minimum hari ini di Malaysia sangat rendah berbanding dengan kenaikan kos harga barang, ahli-ahli politik dan kapitalis-kapitalis (mahupun kecil atau besar) akan membangkitkan isu produktiviti sebagai alas an untuk tidak menaikkan gaji.

Pemahaman orang awam mengenai produktiviti adalah berkaitan kemahiran dan kapasiti seorang pekerja untuk membuat kerja ataupun menjana keluaran (output). Cara untuk meningkatkan produktiviti yang dicadangkan oleh kapitalis adalah latihan, “upskilling” dan pendidikan semula. Begitulah pemahaman mengenai produktiviti hasil sogokan dan propaganda yang dipesongkan oleh orang kaya raya serta ahli politik yang terus dihadam oleh rakyat biasa.

Sebenarnya, untuk kita memahami produktiviti kelas pekerja di negara kita, kita perlu memahami struktur ekonomi negara kita. Sepertimana kuasa asing penjajah bertindak di negara lain, negara kita juga adalah sebuah negara bekas kolonial di mana penjajah kuasa asing membawa keluar kekayaan negara untuk keuntungan segelintir orang di negaranya masing-masing tanpa penambahbaikkan kapasiti pekerja di negara kita.
Selepas kemerdekaan, walaupun proses industrialisasi berlaku, tetapi kebanyakannya berteraskan keuntungan segelintir kecil iaitu kapitalis terutamanya selepas zamanpentadbiran Mahathir Mohamad (1981 – 2003) yang memberi tumpuan kepada penghasilan jutawan tempatan bukannya peningkatan kualiti hidup rakyat jelata.

Tambahan pula, sistem kapitalisme sedunia berpaksi pada mengekalkan gaji serta hak pekerja dunia ketiga pada paras rendah untuk memastikan kadar keuntungan pelabur asing semakin meningkat. Produk yang dihasilkan oleh pekerja ini dijual pada kadar harga yang amat tinggi di tempat lain. Oleh itu, kos keluaran rendah manakala pendapatan tinggi. Kalau dibandingkan dengan pekerja di negara pelabur itu sendiri, gaji pekerja di Malaysia amat kurang.

Nilai yang lebih rendah ini dikaitkan dengan produktiviti pekerja. Atas sebab pekerja Malaysia dibayar gaji ciput berbanding dengan pekerja negara maju, walaupun kualiti kerjanya sama, produktivitinya dikatakan lebih rendah. Pekerja di negara maju pula terpaksa membeli produk yang dihasilkan di negara dunia ketiga pada kadar harga yang amat tinggi. Inilah pertukaran tidak sama rata (unequal exchange) yang menjadi ciri utama kapitalisme abad ke-21.

Hari ini, ekonomi Malaysia berteraskan pelaburan asing (kebanyakannya dari negara barat). Segala polisi berkaitan dengan pekerja, gaji, cukai dan subsidi hanyalah semata-matanya untuk menarik pelaburan asing. Kualiti pekerjaan yang diwujudkan hari ini pula kebanyakannya adalah pekerjaan separa mahir dan kurang mahir. Pada masa yang sama, sistem pendidikan dan pengangkutan awam memerlukan lebih banyak pelaburan kerajaan. Sistem kesihatan pula sedang diancam oleh penswastaan walaupun kebanyakan rakyat masih memilih untuk pergi ke sistem awam. Tambahan lagi, Malaysia kian jauh ke belakang dalam sistem ekonomi ihsan walaupun sedang menuju populasi menua.

Berdasarkan situasi di atas, persoalan yang kita ajukan adalah adakah ia wajar untuk menyalahkan golongan pekerja dan produktiviti mereka dalam isu gaji rendah yang disebabkan oleh struktur ekonomi yang dipandu kapitalis? Berikut adalah faktor-faktor yang juga memainkan peranan dalam produktiviti pekerja.

Kesediaan pihak majikan dalam pelaburan

Kesediaan pihak majikan dalam melabur dan menaik taraf mesin, alat dan teknologi memainkan peranan penting dalam menambahkan produktiviti seorang pekerja. Akan tetapi, penambahbaikan alat dan teknologi juga  bermaksud kapitalis harus membelanjakan lebih banyak keuntungan yang diperoleh, namun, kapitalis hanya rela untuk berbuat demikian sekiranya mendapati boleh memperolehi kadar keuntungan yang lagi tinggi. Dalam situasi sebegini, jugalah tanggungjawab majikan untuk memberi latihan dan ‘upskilling’ untuk pekerja tetapi adakah ia sedang berlaku hari ini? Berapa buah syarikat hari ini secara aktif menambahbaikkan alat dan teknologi di syarikat masing-masing dan juga sedia untuk melatih?

B. Akses kepada latihan-latihan ‘upskilling’

Apabila kita fikir tentang akses, ia tidak hanya bermaksud duit. Akses juga merangkumi masa, tempat, kapasiti untuk mengikuti kelas atau latihan secara berterusan dan prospek masa depan. Kalau seseorang pekerja, sebagai contohnya dari Kuala Ketil, Kedah, apakah prospek masa depan akan mendorong pekerja itu untuk melalui ‘upskilling’? ‘Upskilling’ juga haruslah dilakukan seiring dengan proses industrialisasi secara moden dan penambahbaikan alat dan teknologi. Kalau ia tidak berlaku, saranan untuk ‘upskilling’ hanyalah satu omongan kosong.

Selain itu, adakah pemindahan pengetahuan dan teknologi, di mana pekerja tempatan diberi latihan yang mencukupi untuk menghasilkan sesuatu produk serta menambahbaiknya, betul-betul wujud? Syarikat asing di negara ini sentiasa mengekalkan ilmu pekerja Malaysia pada paras yang rendah supaya mereka sentiasa hanya sebahagian daripada proses pengeluaran dan bukannya pemilik cara pengeluaran.

C. Gaji

Malaysia terperangkap dalam kitaran “low wage, low profit, low productivity” (gaji yang kurang, keuntungan yang kurang, produktiviti yang kurang) seperti mana dicatat dalam Economic Outlook 2024 oleh Kementerian Kewangan. Dalam laporan yang sama, juga dicadangkan bahawa jikalau pekerja bermula untuk mendapat gaji yang tinggi, ia akan mendorong dalam peningkatan produktiviti. Tambahan lagi, soalan yang harus ditanya adalah bagaimana kita dapat menilai produktiviti golongan pekerja yang melakukan kerja-kerja pembersihan, pengawal keselamatan, kerani, operator di sebuah kilang kecil dan banyak lagi kerja yang hanya dibayar gaji minimum RM1500?

Pendapat bahawa ‘upskilling’ harus dilakukan sebelum menaikkan gaji adalah falasi dan tidak boleh dipakai. Ini sebab secara prinsipnya golongan yang membawa dan menyebarkan idea ‘upskilling’ juga adalah golongan yang percaya bahawa pekerja-pekerja yang membuat pekerjaan 3D tidak layak mendapat gaji yang bermaruah atau living wage.

D. Polisi asas prorakyat

Tanpa sistem pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan ekonomi ihsan yang kukuh, produktiviti pekerja memang akan merudum. Tiada logiknya dalam mengharapkan produktiviti yang tinggi daripada seorang pekerja yang menggunakan lebih 2 jam di atas jalan raya semasa perjalanan ke dan dari tempat kerja setiap hari.

Mengharapkan produktiviti yang tinggi daripada seorang pekerja yang menggunakan masa yang selebihnya selepas kerja untuk kerja-kerja pengasuhan kanak-kanak dan penjagaan orang tua adalah sangat tidak munasabah. Seorang pekerja yang tidak mempunyai duit yang secukupnya untuk menangani usia warga emas kemungkinan besar tidak juga dapat memberi produktiviti yang tinggi dalam kerjanya.

Dalam sebuah sistem ekonomi di mana golongan pekerja tidak mempunyai kuasa ekonomi dan politik sehebat golongan kapitalis dan majikan, ia sangat tidak wajar untuk mewujudkan naratif seolah-olah hanya golongan pekerja yang bertanggungjawab untuk meningkatkan produktiviti mereka supaya mendapat gaji yang tinggi. Ia hanyalah satu teknik memesongkan perhatian terhadap pekerja dan menjaga keuntungan majikan dan kapitalis apabila sebenarnya kerajaan yang mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyediakan ekosistem yang sihat untuk para pekerja.

Soalan yang kita semua harus tanya adalah adakah kerajaan hari ini bersedia untuk memberi lebih kepentingan kepada pekerja berbanding kapital dan menambahkan gaji minimum kepada paras yang berpatutan (RM2000 – RM2400)?

Gandipan Nantha Gopalan
Penyelaras PSM Petaling Jaya





Source link

Leave a Reply