Megawati larang menteri PDI-P letak jawatan


JAKARTA: Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri dikatakan menolak permintaan anggotanya yang bergelar menteri untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet Indonesia Maju. 

Menurut Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto, Megawati menolak cadangan itu kerana menganggap tindakan tersebut boleh mencetuskan kemelut politik.

“Ada seorang menteri yang meminta nasihat hala tuju Megawati berhubung situasi politik, tetapi beliau terus memberikan garis dasar bahawa kepentingan rakyat, bangsa dan negara mesti diutamakan,” kata Hasto dipetik Kompas.com. 

Menurut Hasto, sebilangan wakil parti itu dalam Kabinet dikatakan bersedia meletakkan jawatan akibat keadaan politik yang kurang memberangsangkan terutamanya selepas anak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming Raka menjadi calon Naib Presiden bersama calon Presiden, Prabowo Subianto. 

Malah, keputusan Mahkamah Perlembagaan berhubung peraturan asas had umur calon presiden dan naib presiden yang membuka laluan kepada Gibran untuk menjadi salah seorang calon Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 dianggap kontroversi.

“Walaupun ada yang mengatakan kami bersedia untuk angkat kaki, bagi Megawati, kestabilan kerajaan adalah sangat penting.

“Kerana memikirkan rakyat dan Pemilu itu hanya lima tahun sekali. Menteri bertanggungjawab kepada rakyat, kepada bangsa dan negeri sebagai pembantu kepada Presiden. Kepentingan rakyat akan diutamakan,” jelasnya lagi.

Menurut Hasto, pada masa ini apa yang perlu diberi perhatian ialah usaha meningkatkan kualiti Pemilu supaya berpegang kepada prinsip langsung, umum, bebas, rahsia, jujur ​​dan adil.

Menurut Hasto, jika ditinjau sejarah seperti yang berlaku pada penghujung pemerintahan Presiden Soeharto, sebilangan menteri memutuskan untuk meletakkan jawatan dalam kabinet yang akhirnya mencetuskan kejutan politik.

“Kalau ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan dalam pergolakan politik bagaimana? 

“Ini bukan sekadar cita-cita individu. Jika cita-cita kuasa itu mudah dengan melanjutkan tempoh penggal presiden, PDI-P akan mendapat manfaat, tetapi apa yang perlu dilakukan ialah melindungi perlembagaan, demokrasi dan kedaulatan rakyat,” tegasnya.





Source link

Leave a Reply