Mangsa banjir Johor, Pahang hampir 9,000 orang


PETALING JAYA: Keadaan banjir di Johor dan Pahang terus meruncing apabila mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 8,904 orang dengan 81 PPS diaktifkan setakat pukul 3 petang ini.

Berdasarkan kemas kini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), keadaan bencana banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan signifikan di enam daerah di Johor terjejas dengan jumlah mangsa dipindahkan seramai 7,511 orang membabitkan 2,108 keluarga.

Semua mangsa ditempatkan di 54 PPS yang diaktifkan di enam daerah yang terjejas.

Daerah Kota Tinggi terus mencatatkan jumlah perpindahan tertinggi iaitu seramai 4,397 orang; Johor Bahru (1,271) ; Kluang (1,680); Kulai (86), Segamat (60) dan Pontian (17).

Sementara itu, di Pahang pula, tiga daerah terjejas akibat bencana sama iaitu Rompin, Pekan dan Maran membabitkan 1,393 mangsa terdiri daripada 383 keluarga.

Jumlah PPS di Pahang juga bertambah kepada 26 berbanding 24 yang dibuka di ketiga-tiga daerah tersebut pagi semalam.

Rompin merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 622 orang daripada 194 keluarga di 10 PPS, diikuti Maran membabitkan 478 orang daripada 111 keluarga di lapan PPS dan Pekan pula membabitkan 293 mangsa daripada 78 keluarga di lapan PPS.

Sementara itu, terdapat empat sungai di Johor menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Sungai Johor di Rantau Panjang, Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

Di Pahang pula, terdapat sembilan sungai menunjukkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Sungai Luit di Kampung Subuh, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini.

Turut mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya adalah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia dan Sungai Rompin di Jambatan Kuantan-Segamat. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply