Perlu bersabar, beri kepercayaan kepada Ratcliffe ubah nasib kelab ekoran permulaan musim hambar
LONDON: David Beckham amat berharap bahawa pemilik minoriti kelab Manchester United, Jim Ratcliffe, akan mengubah nasib kelab namun menambah bahawa ia akan mengambil masa yang lama untuk kembali ‘ke arah era kegemilangan lama’.
Ratcliffe, pemilik syarikat INEOS, mengambil alih operasi pengurusan bola sepak kelab pada awal tahun ini tetapi United mengharungi permulaan musim baharu yang hambar ketika mereka cuba untuk membina dari kejayaan memenangi Piala FA Inggeris musim lepas.
Tekanan meningkat ke atas pengurus kelab, Erik ten Hag, dengan kelab berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris selepas tujuh perlawanan dan tanpa kemenangan dalam dua perlawanan Liga Europa.
Beckham, yang memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA dan satu Liga Juara-Juara semasa bermain bersama United, percaya penyokong perlu bersabar dengan Ratcliffe dan pasukannya.
Ratcliffe membeli saham minoriti di United daripada pemilik kelab, keluarga Glazer pada bulan Februari.
Keluarga Glazer tidak popular di kalangan penyokong sejak mengambil hutang untuk membeli kelab pada 2005, menyebabkan kelab dibebani hutang yang besar.
Beckham berkata dalam program bual bicara bersama bekas rakan sepasukannya, Rio Ferdinand, berkata kelab memerlukan satu perubahan dan “perspektif baharu”.
“Saya benar-benar menyukai Jim,” katanya. “Saya ada bertemu dengannya beberapa kali dalam beberapa tahun dan saya fikir dia seorang peminat dan juga seorang ahli perniagaan yang hebat, salah seorang yang terbaik dan yang terbesar.
“Tetapi saya fikir ia lebih penting di mana penyokong melihat dia ambil peduli, dan saya fikir ia adalah bahagian besar semua ini. Saya fikir ia jelas di mana penyokong hilang kepercayaan dengan pengurusan kelab sejak beberapa tahun yang lalu dan dia jelas sekali benar-benar ambil peduli tentang apa yang dia mahu lakukan dan apa yang dia mahu cipta.
“Jadi saya berharap semuanya akan berubah tetapi semua ini akan mengambil masa.”
Beckham merupakan presiden kelab Inter Miami dalam Liga Bola Sepak Utara (MLS) di Amerika Syarikat (AS) sejak ditubuhkan pada 2018.
Inter Miami, yang mendapatkan Lionel Messi tahun lepas, memenangi kejuaraan Perisai Penyokong MLS musim ini – anugerah kepada pasukan dengan rekod musim semasa terbaik – dan akan memburu kejuaraan pertama mereka apabila musim playoff bermula lewat bulan ini.
Beckham berkata dia mendapat nasihat bekas pengurusnya di United, Sir Alex Ferguson untuk nasihat apabila menubuhkan kelab itu.
United menanti kunjungan Brentford dalam aksi liga hari ini, dan akan memburu kemenangan pertama dalam liga sejak pertengahan bulan September. — AFP