KUALA LUMPUR: Pasukan sepak takraw negara memenuhi jangkaan dengan meraih pingat emas dalam acara regu lelaki setelah menewaskan India 2-0 pada final Piala Raja Thai 2024 di Nakhon Ratchasima (Korat), Thailand, hari ini.
Pasukan yang terdiri daripada Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam menunjukkan persembahan cemerlang pada set pertama dengan menewaskan lawan 15-5.
Pada set kedua, Malaysia terus mengungguli India dengan keputusan 15-9 dan meraih kemenangan.
Sebelum itu, skuad kebangsaan meneruskan rentak kemenangan dalam semua tiga perlawanan di bahagian perdana lima pasukan sebelum bertemu India pada perlawanan pusingan akhir.
Malaysia memulakan kejohanan dengan dua kemenangan mudah 2-0 menentang Singapura (15-2, 15-6) dan China (15-8, 15-6), namun menghadapi masalah untuk menewaskan Brunei dengan keputusan 13-15, 15-9, 15-12.
Thailand sebagai tuan rumah tidak menyertai acara regu lelaki pada tahun ini.