Malaysia kecam serangan Israel, 8 mati syahid petugas Op Ihsan


PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang menyebabkan lapan rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih dari 20 yang lain.

Serangan melalui udara itu mensasarkan ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza ketika mangsa merupakan petugas sedang dalam persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang amat diperlukan kepada rakyat Palestin.

Menurut Wisma Putra, bekalan makanan itu disumbangkan rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Op Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan – NGO Malaysia).

“Tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kata Kementerian Luar, mereka yang berada di kem tersebut adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka terhadap sesama penduduk Palestin.

Tegasnya, bagi memastikan keselamatan rakyat Palestin, masyarakat antarabangsa digesa untuk campur tangan segera dan tegas dengan meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia.

“Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi.

“Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply