PETALING JAYA: Malaysia mara ke final Pestabola Merdeka 2024 selepas berjaya menumpaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah Pau Marti Vicente akan berdepan Lubnan di pentas final pada 8 September ini selepas mereka menumpas Tajikistan 1-0.

Dalam aksi berdepan Filipina, pasukan pelawat itu terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-27 selepas rembatan Jefferson Tabinas terkena kaki Feroz Baharudin sebelum menerjah jaring.

Harimau Malaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila rembatan cantik Syamer Kutty Abba berjaya menumpaskan penjaga gol Filipina untuk kedudukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia memperkemaskan permainan dengan gerakan-gerakan menarik untuk berada di hadapan, namun berjaya dihalang pertahanan kemas Filipina.

Sedar perlu menggandakan asakan, Vicente membawa masuk Safawi Rashid dan Endrick Dos Santos bagi menambah sengat jentera hadapan.

Percaturan itu berhasil apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-72 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Safawi yang diamanahkan mengambil tanggungjawab itu tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk Malaysia didepan 2-1 yang juga gol kemenangan skuad negara.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply