MALAYSIA dan India telah bersetuju untuk menjalin kerjasama strategik dalam bidang pembangunan belia dan sukan.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kerjasama ini direalisasikan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara yang ditandatangani di Rumah Hyderabad, New Delhi, India.
Dalam majlis penandatanganan MoU, Malaysia diwakili oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, manakala India diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.
“Antara tumpuan MoU ini adalah inisiatif program pertukaran belia Malaysia-India dan anti-doping. Penandatanganan MoU selama lima tahun antara kedua-dua negara dilihat dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan India,” menurut kenyataan tersebut.