PETALING JAYA: Selepas hampir tiga bulan sejak saingan Super Schools Rugby (SSR) 2024 disingkap Jun lalu, kini tiba di kemuncaknya dengan Grand Final menemukan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dan bekas juara, SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) di Stadium UiTM, Shah Alam pada jam 4.0 petang esok.

Kejohanan ragbi peringkat sekolah yang menawarkan hadiah paling lumayan menyaksikan bakal juara bukan sahaja akan menjulang trofi kejohanan, Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz tetapi juga akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000.00, manakala finalis akan memperoleh RM7,000.00.

Dengan pengumuman semua tiket grandstand telah habis dijual, pihak penganjur Enervive Sports berharap semua penyokong dapat hadir ke final dengan kemasukan percuma di bahagian terbuka.

Peminat ragbi, pelajar dan alumni digesa untuk tiba lebih awal untuk mendapatkan tempat mereka dan turut dijemput untuk menikmati jualan dan aktiviti sebelum dan semasa perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin, berkata Grand Final akan dilengkapi
penggunaan protokol Pegawai Perlawanan Televisyen atau Television Match Official (TMO) bagi membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.

“Selain dilengkapi TMO dengan penggunaan lima kamera, final ini akan disiarkan secara pengstriman langsung dengan audiens yang setakat ini sudah mengumpul lebih 300,000 tontonan sejak sepak mula SSR Jun lalu,” kata Shahrizin.

Dalam pada itu, Shahrizin turut menghargai sumbangan penaja yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kejohanan pada tahun ini.

“Penglibatan sektor swasta adalah nadi kepada sukan akar umbi. Komitmen penaja kami terhadap SSR mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat tentang kepentingan memupuk bakat muda dan membina ekosistem pengkomersialan sukan yang mampan yang akan menyokong masa depan sukan Malaysia,” kata Shahrizin.

Beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja IX Telecom, Nestle, Skyworth, Pos Malaysia, Touch n Go, Aeon Big, 100 Plus, Ojas Electronics, Jantzen, People & Pixel, Menara Kuala Lumpur , Ragbi Online, PhysioDoc, dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, yang dikenali sebagai English College dengan gelaran EC Steenboks, menunjukkan prestasi luar biasa di bawah bimbingan ketua jurulatih Abdul Hanis Mokhtar.

Selepas terkandas di peringkat suku akhir di tangan Maktab Tentera Diraja (RMC) tahun lalu, EC telah mempamerkan mutu permainan ragbi yang tangkas dan cekap dan kini miliki peluang besar untuk meraih kejuaraan SSR sulung mereka.

Sementara itu, jurulatih SEMASHUR, Mohd Soleh Abd Hamid mengakui perlawanan akhir ini adalah medan untuk pasukannya menebus kegagalan.

The Zealords, yang kali terakhir menjulang kejuaraan SSR pada 2019, membuat penampilan perlawanan akhir kedua berturut-turut selepas tewas menentang Victoria Institution tahun lalu.

“Kita telah menerapkan mentaliti juara kepada semua pemain dalam pasukan dan kita akan berusaha memastikan kejuaraan ini menjadi milik kita,” katanya.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply