ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan awal bantuan persekolahan sebanyak RM8,920,800 yang bakal memanfaatkan seramai 12,744 pelajar di Perlis.
Bantuan bagi tahun 2024 berkenaan disalurkan kepada Jabatan Pendidikan negeri dengan setiap seorang akan menerima sumbangan RM700.
Sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif MAIPs dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bertujuan membantu anak-anak asnaf di seluruh negeri ini.
Setiap sekolah di bawah Jabatan Pendidikan negeri akan melantik guru-guru ‘murabbi’ khusus yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan para pelajar yang kurang bernasib baik ini dengan para penerima akan dicadangkan oleh guru yang bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan negeri yang banyak membantu MAIPs bagi mengenal pasti anak-anak asnaf ini.
“Ia sekali gus membantu MAIPs untuk melaksanakan agihan kepada mereka yang berkeperluan.
“Bantuan RM700 setiap seorang ini dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuklah RM300 untuk pakaian sekolah dan alat tulis manakala RM100 sebagai wang saku kepada ibu bapa pelajar.
“Selebihnya akan diuruskan oleh pihak sekolah bagi menjalankan aktiviti-aktiviti peningkatan akademik dan juga sahsiah pelajar,” katanya.
Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan MAIPs tersebut pada Program Hijrah Minda anjuran MAIPs di Masjid Al-Falah, Kolej Matrikulasi di sini, semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan; pemangku Pengarah Pendidikan negeri, Hamidi Md Saad dan Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis, Khairini Subari.