Mahkamah Guatemala jatuhkan hukuman penjara 808 tahun


GUATEMALA CITY: Sebuah mahkamah di Guatemala menjatuhkan hukuman penjara selama 808 tahun ke atas seorang individu dipercayai `raja dadah’ atas peranannya dalam kes pembunuhan 15 rakyat Nicaragua dan seorang warga Belanda pada 2008.

Perkara itu disahkan oleh sumber kehakiman.

Mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Rigoberto Danilo Morales kerana peranannya dalam kes genosid atau pembunuhan beramai-ramai itu.

Pada tahun 2016, seorang lagi individu disyaki `raja dadah’, Marvin Montiel Marin dikenakan hukuman penjara untuk tempoh lama berhubung kes pembunuhan beramai-ramai itu.

Menurut mahkamah, Morales dikenakan hukuman penjara 50 tahun bagi setiap kesalahan membunuh dan tempoh lapan tahun lagi atas kaitannya dengan jenayah.  

Di sebalik hukuman penjara untuk tempoh lama itu, undang-undang Guatemala menetapkan bahawa seorang banduan sebenarnya tidak boleh menjalani hukuman penjara lebih daripada 50 tahun.

Morales, 37, ditahan pada 2022 selepas menjadi buruan polis sejak 13 tahun lalu.

Perbicaraan kes pembunuhan beramai-ramai itu bermula pada September tahun lalu.

Menurut pihak pendakwa raya, dalam kes pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada 2008, sebuah bas yang memasuki Guatemala dari Nicaragua dengan membawa mangsa dipintas oleh sekumpulan individu disyaki pengedar dadah.

Jelas pendakwa raya, kumpulan individu itu percaya bas berkenaan membawa dadah namun mereka bertindak menembak semua penumpang apabila menyedarinya kenderaan itu tiada muatan bahan terlarang itu.  

Katanya, kumpulan individu itu juga membakar mayat mangsa di sebuah estet milik Montiel.

Lapan lagi individu termasuk Montiel dan isterinya, Sara Cruz juga disabitkan dalam kes itu dan dihukum penjara tempoh yang berlainan. – AFP





Source link

Leave a Reply