Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika bakal menggegar apabila berkongsi pentas menerusi Konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 14 Disember ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Dianjurkan Universal Gateway, mereka masing-masing tidak sabar mempamerkan magis menerusi perjalanan muzik sepanjang zaman di konsert terbabit.
Bagi Siti, gabungan itu sekali gus merealisasikan impiannya untuk bergabung tenaga dengan penyanyi yang berasal dari Indonesia itu selepas lebih dua dekad menjadi penghibur industri muzik.
Di matanya, Judika seorang penyanyi serba boleh dan yakin peminat yang hadir pada konsert berkenaan tidak akan kecewa dengan persembahan yang bakal disajikan selama hampir tiga jam.
“Judika ini senang sangat, sebab kalau lagu orang lain seperti Cakra Khan, Faizal Tahir pun, suaranya semua boleh ‘masuk’, malah dia boleh buat cara tersendiri.
“Saya suka sangat terutama apabila dapat bersama atas pentas dengan artis yang ada karisma, karakter serta aura memukau,” katanya.
Menurut Siti, pemilihan lagu ketika konsert masih di peringkat perbincangan kedua-dua pihak.
“Apa yang pasti selain nyanyi duet, saya juga akan ada bahagian solo, begitu juga dengan Judika,” katanya.
Bagi Siti, banyak hal yang dia kagum terhadap Judika. Kemampuan vokal penyanyi Aku Yang Tersakiti itu paling dia puji kerana menjadi keunikan terbesar dalam kariernya.
“Saya sudah boleh rasa dengan gaya nyanyiannya, Judika mampu menukar sesebuah karya menjadi lebih hebat. Antara sebab saya kagumi Judika kerana vokal ampuhnya mampu teroka banyak lagu.
“Nyanyiannya pelbagai dan saya boleh bayangkan apa yang boleh kami lakukan bila berduet nanti. Insya-Allah kami sudah wujudkan kumpulan WhatsApp dan di situ, kami boleh bincang dan berkongsi idea,” katanya.
Demikian juga Judika yang menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Siti sentiasa dinantikannya. Dia melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan penyanyi cukup disegani dan dihormati itu.
“Tentu saja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Siti yang saya hormati, apa lagi bekerjasama dan berganding dengan beliau. Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang, tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di The Journey of Sound.
“Bukan hanya kerana saya dan Siti selaku subjek utama, tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton,” katanya.