PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthnony Loke menegaskan bahawa tanggungjawab untuk memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa.

Ini kerana katanya, kes melibatkan kanak-kanak yang bertindak memandu kenderaan milik keluarga bukan lah kali pertama berlaku dan amat membahayakan.

Jelas beliau, sekiranya berlaku insiden sedemikian, ibu bapa dan pemilik kenderaan boleh dihadapkan ke mahkamah akibat kelalaian.

“Kita tidak boleh dakwa kanak-kanak itu tapi ibu bapa yang kena bertanggungjawab. Macam mana kementerian boleh jaga setiap keluarga? Jadi itu tanggungjawab ibu bapa lah, mereka kena pastikan ada mesej yang betul dan didikan serta pengajaran kepada kanak-kanak supaya tidak sesuka hati membawa kenderaan.

“Bagaimana mereka (kanak-kanak) boleh mendapatkan kunci dan bawa kereta? Itu sesuatu yang tidak ada sesiapa yang boleh kawal kecuali ibu bapa sendiri,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan Pelancaran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di sini hari ini.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikesan memandu kereta Toyota Corolla milik ibu bapanya sehingga terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban, kelmarin.

Hari ini media melaporkan, ibu bapa kanak-kanak berusia 10 tahun yang bertindak memandu kereta milik keluarga sehingga terlibat kemalangan akan didakwa atas kesalahan kecuaian menjaga anak.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, polis akan menahan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang merupakan warga tempatan untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply