KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah mengucapkan tahniah kepada dua pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Katanya, Muhammad Nur Aiman Rosli mendahului dalam Jersi Penunggang Terbaik Asia selepas melakukan persembahan memberangsangkan dalam pemecahan di Peringkat 1 di Pulau Langkawi, hari ini.
Tambahnya, manakala Andreas Miltiadis pula dianugerahkan pelumba paling cekap untuk peringkat 1 itu.
“Tahniah buat kesemuanya begitu juga buat seluruh pelumba dan pasukan pengurus Terengganu Cycling Team,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Kelmarin, beliau mewakili Kerajaan Negeri Terengganu hadir ke Majlis Pengenalan Pasukan Petronas LTdL 2024.
Majlis itu telah telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah bertempat di Dataran Lang, Langkawi.
Sementara itu, Nur Aiman menduduki tempat kedua pada zon pendakian di Look Out Point.
Aiman merangkul jersi putih selaku pelumba Terbaik Asia selepas menduduki tempat kedua di dua zon pecutan dan zon pendakian.
Pada perlumbaan Peringkat 1 di Pulau Langkawi sejauh 96.5 kilometer hari ini berlangsung dalam keadaan hujan dan panas sehingga ke garisan penamat.
Saingan LTdL 2024 perlumbaan Peringkat 2 esok dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5km yang membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani. – HARAKAHDAILY 29/9/2024