Liverpool, Manchester United berkongsi mata


MANCHESTER: Liverpool melepaskan peluang untuk kekal menerajui kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berkongsi mata dengan Manchester United.

Keputusan itu bagaimanapun memberi kelegaan kepada pengendali United Erik ten Hag sekali gus meredakan tekanan susulan tewas 4-3 kepada Chelsea Jumaat lalu.

Sebaliknya kekecewaan dirasai pengurus Reds Jurgen Klopp selepas anak buahnya mencipta banyak peluang namun gagal mencipta kemenangan.

Pada aksi di Old Trafford sebentar tadi, anak buah Klopp terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah seawal minit ketiga menerusi rembatan kencang Szoboszlai namun dinafikan penjaga gol tuan rumah Andre Onana.

Pasukan pelawat sekali mencemaskan benteng United pada minit ke-18 namun hantaran lintang rendah dilakukan Andrew Robertson gagal disambar dengan baik oleh Szoboszlai.

Usaha Liverpool mencari gol pembukaan, akhirnya hadir pada minit ke-23 menerusi Luiz Diaz, bermula dengan sepakan sudut yang ditanduk Darwin Nunez sebelum disambut sempurna oleh bintang Columbia itu.

Selepas itu, Nunez hampir menggandakan jaringan buat Liverpool namun lencongannya pada minit ke-34 dalam kotak penalti hanya sedikit melepasi palang.

PEMAIN Liverpool kecewa gagal meraih tiga mata pada pertemuan menentang Manchester United di Old Trafford.-AFP

Bersambung babak kedua, United bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi rembatan cantik Bruno Fernandes.

Gol itu diperolehi, berpunca daripada kesilapan hantaran Jarell Amorin Quansah yang dipintas Fernandes dan terus melakukan rembatan jarak jauh bagi menewaskan penjaga gol pelawat Caoimhin Kelleher.

Old Trafford terus bergema dengan sorakan penyokong United buat kali kedua apabila rembatan Kobbie Mainoo pada minit ke-67 menggegar jaring gawang dikawal Kelleher.

Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool kembali menekan benteng United bertali arus dan usaha itu membuahkan hasil menerusi ledakan Mohamed Salah pada minit ke-84 selepas menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan itu diperolehi ekoran tindakan Aaron Wan-Bissaka menjatuhkan Alexis Mac Allister dalam kotak penalti.

Jaringan penyamaan itu memberi motivasi tambahan kepada Liverpool untuk memburu gol kemenangan namun United utuh bertahan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam perlawanan yang cukup menghiburkan. -AGENSI





Source link

Leave a Reply