Liverpool bergelut jinakkan Man Utd yang bermasalah


ANFIELD: Pertembungan panas antara dua kelab besar dalam Liga Perdana Inggeris, iaitu Liverpool dan Manchester United berakhir dengan penamat anti-klimaks apabila terikat seri tanpa sebarang jaringan.

Liverpool yang membawa momentum yang cukup baik diramalkan akan meratah United, namun perkara sebaliknya berlaku apabila barisan pertahanan pasukan pelawat yang dibarisi Johny Evans, Raphael Varane, Diogo Dalot dan Luke Shaw berjaya mengekang asakan The Reds.

Peluang terbaik Liverpool untuk memecahkan kebuntuan jaringan hadir pada minit ke 65, namun rembatan kencang Trent Alexander-Arnold hanya tersasar sedikit sahaja dari pintu gawang United.

United yang kerap diasak berjaya melancarkan beberapa siri serangan berbahaya ke kubu Liverpool, namun penyudah yang tumpul menyaksikan anak buah Erik ten Hag berputih mata.

Drama terus menyelubungi perlawanan ini apabila pengadil perlawanan, Michael Oliver tidak menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah setelah bola dikesan terkena tangan Shaw.

United kemudian kehilangan seorang pemain di hujung masa tambahan, setelah Dalot mengutip kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil.

Insiden Dalot dibuang nyata mencetuskan rasa tidak puas hati kem United, namun mereka tetap kental bertahan dengan 10 orang pemain sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool jatuh semula ke tangga kedua liga, hanya berbeza satu mata dengan pendahulu, Arsenal yang kini mengutip 39 mata.

Sementara itu, United berada di tangga ketujuh liga dengan 28 mata.





Source link

Leave a Reply