FIVE wakil Malaysia termasuk pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah telah mara ke pusingan kedua Japan Open 2024 di Yokohama hari ini.
Dalam pusingan pertama kejohanan Super 750 yang diadakan di Yokohama Arena, Pearly-Thinaah terpaksa berhempas-pulas menentang pasangan Taiwan, Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh sebelum menang dengan keputusan 21-17, 22-24, 21-11 dalam masa 58 minit.
Paduan Malaysia yang tidak disenarai ini akan bertemu Julie Finne-Ipsen-Mai Surrow esok selepas pasangan Denmark itu menewaskan Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India dengan keputusan 21-8, 21-14.
Sementara itu, pasangan campuran teratas negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga berjaya mara ke pusingan kedua setelah mengalahkan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh dari Taiwan dengan keputusan 21-19, 21-14.
Paduan yang diundi ketujuh ini akan berdepan pasangan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch, yang berjaya menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett dengan 25-23, 21-14.
Namun, pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal melangkah ke pusingan seterusnya setelah tewas straight set 12-21, 18-21 kepada Cheng Xing-Zhang Chi dari China.
Sementara itu, Malaysia dijamin tempat di suku akhir beregu lelaki kerana kedua-dua pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan bertemu sesama sendiri di pusingan kedua esok.
Wei Chong-Kai Wun mudah menewaskan Lin Bing-Wei-Su Ching Heng dari Taiwan dengan keputusan 21-10, 21-7, manakala Yew Sin-Ee Yi mengatasi Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark dengan 21-14, 21-13.
Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao juga mara ke pusingan seterusnya setelah mengalahkan pemain tuan rumah, Takuma Obayashi dengan keputusan 21-15, 21-17.
Pemain nombor 27 dunia ini akan menghadapi cabaran yang besar untuk mendapatkan tiket ke lapan terbaik apabila berdepan pemain tuan rumah dan nombor lapan dunia, Kodai Naraoka.
Naraoka sebelum ini telah menunjukkan kebangkitan yang mantap setelah ketinggalan satu set untuk menewaskan Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dengan keputusan 18-21, 21-9, 21-19.