ALOR SETAR – Tindakan memboikot latihan selama hampir dua minggu oleh para pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berikutan isu tunggakan gaji sebelum ini tampak tidak menjejaskan kekuatan pasukan itu apabila mereka tetap berjaya mengutip satu mata dengan mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Darul Aman malam ini.

Sri Pahang terlebih dahulu menjaringkan gol dengan penyerang naturalisasi negara, Sergio Aguero membuka jaringan pada minit ke-51.

Bermula dengan gerakan dilakukan gandingan serangannya, Kpah Sherman, Aguero memanfaatkan keadaan kelam kabut di depan pintu gol untuk melakukan rembatan leret melepasi jangkauan Ifwat untuk Tok Gajah mendahului 1-0.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila KDA FC kembali menyamakan jaringan menerusi Halim Saari, enam minit kemudian.

Kesilapan dilakukan pertahanan Sri Pahang pada minit ke-64 membolehkan sayap lincah KDA FC dari Uzbekistan, Sukhrob Nurulloev merampas bola, sebelum dia melakukan larian solo dan melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk gol kedua tuan rumah.

Begitu pun harapan Sang Kenari untuk mencatat kemenangan tidak kesampaian apabila Kpah Sherman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-80 menerusi rembatan leret dari dalam kotak penalti. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply