Lelaki warga emas disatukan selepas setahun mengurat


BACHOK: Usaha tanpa jemu seorang lelaki warga emas mengurat wanita idamannya selama setahun berbaloi selepas disatukan menerusi ikatan perkahwinan pada Sabtu.

Abdullah Ali, 86, mendedahkan walaupun pinangannya pernah ditolak oleh isteri Siti Zabidah Zakaria, 63, sebelum ini namun dia tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus istiqamah berkenalan suri hatinya itu.

“Dia (isteri) menolaknya kerana ketika itu hati masih belum bersedia untuk berumah tangga kembali. Hal ini kerana dia pernah berkahwin dua kali, namun jodoh tidak panjang apabila masing-masing suaminya meninggal pada 2003 dan 2021 lalu.

“Sejak itu saya terus berkawan dengan isteri dan sering membuat panggilan untuk bertanya khabar,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Aman, Kandis di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, dia bersyukur apabila Siti Zabidah terbuka hati untuk berkahwin dengannya.

Katanya, perkahwinan ini lebih kepada ingin mencari teman bagi menghabiskan sisa-sisa hidup.

“Lagipun kami berdua masing-masing tinggal sendirian. Kebetulan pula anak-anak saya sama baya dengan isteri memberi restu untuk kami bersama.

“Jadi sebaik sahaja Siti Zabidah menerima, saya membuat keputusan mendirikan rumah tangga bersamanya,” ujarnya.

Terdahulu, video perkahwinan pasangan warga emas itu tular di aplikasi TikTok sehingga menimbulkan reaksi positif dalam kalangan pengguna laman sosial itu.-UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply