Lelaki telah menghilang selama dua minggu, dan akhirnya ditemui dalam keadaan hanya tinggal rangka.


BAGAN SERAI: Seorang lelaki tidak menyangka majlis perkahwinannya dijadual bulan depan bakal dilangsungkan tanpa bapanya yang ditemukan meninggal dunia.

Lebih memilukan apabila mayat  bapanya sudah tinggal rangka ditemukan dalam semak di tepi Jalan Bukit Aping, Bandar Baharu, Kedah pada 13 Disember lalu selepas dua minggu  hilang.

Mohamad Zulashraf, 24, berkata, bapanya, J. Mizan Ideris, 47, tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu selepas keluar bekerja ke Kulim  sehinggalah motosikal jenis Yamana Y15 bapanya ditemukan dalam semak.

“Mayat bapa ditemukan dalam keadaan tinggal rangka. Mayat bapa masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk ujian asid Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti,” katanya.

Keluarga Mohamad Zulashraf menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali di Parit Haji Kassim 2, Alor Pongsu di sini semalam.

Menurutnya, kejadian menimpa bapanya menyedihkan  tetapi majlis perkahwinannya tetap akan diteruskan.

“Majlis pernikahan saya akan tetap diteruskan kerana surat jemputan sudah diedarkan kepada tetamu, cumanya agak terkilan apabila ayah tiada bersama kami bagi menyaksikan majlis pernikahan nanti,” katanya.

Sementara itu, bapa mertua J.Mizan, Mat Radzi Ali, 69, berharap jenazah bapa kepada menantunya itu dapat dikebumikan dengan segera.

“Sejak dia hilang, pelbagai spekulasi yang kami dengar  namun kami bersyukur segala usaha pencarian kini sudah berakhir,” katanya.- UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply