Lelaki miliki senapang angin ditahan polis


TANAH MERAH: Seorang lelaki ditahan selepas memiliki selaras senapang angin dalam serbuan di sebuah bangsal berhampiran kawasan hutan di Kampung Jedok Tua , Nibong di sini kelmarin.

Dalam serbuan pukul 11.13 malam itu, suspek telah bertindak agresif dengan mengacukan sebilah pisau lipat sebelum berjaya ditahan oleh anggota bertugas selepas berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan di bangsal itu pihaknya telah menjumpai selaras senapang angin bersama 14 biji bebola besi, sebotol cecair berisi spirit dan 53 biji pil yaba.

Menurutnya, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Suspek telah direman sehingga 30 Disember untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply