Lelaki lepaskan tembakan ke arah polis dijejak


KOTA BHARU: Sepasukan anggota polis terselamat daripada terkena tembakan dilepaskan seorang lelaki di Jalan Raja Perempuan Zainab 2,  bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Demit di sini semalam.

Dalam kejadian itu suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis jenis Proton Preve bagi mengelak ditahan.

Tembakan tersebut menyebabkan kereta itu mengalami kerosakan pada cermin hadapan di sebelah kanan.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terdahulu pihaknya telah menerima paggilan daripada seorang wanita yang memberitahu rumahnya cuba dipecah masuk di Panji.

Menurutnya, hasil aduan itu anggota bertugas telah telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Vivi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 3.30 pagi.

“Pengadu bersama pasukan telah mengekori dan mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Raja Perempuan Zainab 2, bersebelahan SK Demit.

“Sejurus tiba di lokasi, suspek yang merupakan penumpang hadapan kereta itu telah mengeluarkan objek menyerupai pistol. Pengadu bersama rakan setugas kemudian tergendar bunyi dentuman yang kuat pada cermin hadapan kenderaan pasukan dinaiki mereka,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, suspek kemudian bertindak melarikan diri dan bagaimanapun kereta dinaiki mereka berjaya ditemukan di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian.

Katanya, ketika ini polis giat memburu kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(a) Akta Senjatapi 1960.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkait jenayah berhubung dengan pihak Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7455555,” ujarnya.-UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply