Kalau anda peminat kereta, pasti biasa dengan idea mengubah suai kereta untuk nampak lebih menarik. Di Malaysia, ramai pemilik kereta yang suka ‘rebranding’ kereta tempatan agar kelihatan seperti model dari luar negara. Namun, ada satu kisah menarik yang tular di kalangan rakyat Malaysia baru-baru ini.
Seorang lelaki Jepun bernama Kenji Hoshino mengambil langkah berani dengan mengubah suai kereta Kei (K-car), yang merupakan kereta terkecil yang dibenarkan di lebuhraya di Jepun, untuk kelihatan seperti Perodua Kelisa yang ikonik di Malaysia! Jom kita tengok rupa baru kereta beliau:
Posting asal Kenji di Facebook mencuri perhatian dalam kumpulan pemilik Kelisa pada 13 Oktober 2024, di mana dia kongsi gambar keretanya yang dipamerkan di sebuah acara kereta di Jepun. Dia telah mengubah suai Daihatsu Mira miliknya, yang asalnya adalah model 3-pintu, menjadi 2-pintu untuk lebih menyerupai Kelisa.
Kenji bukan sahaja mengubah suai bahagian luar kereta, malah menukar emblem jenama kereta, menjadikannya seolah-olah sama dengan Kelisa yang sebenar. Dia juga pilih warna emas pucat yang sangat popular di Malaysia. Untuk tambah kesahihan, dia letak plat nombor yang mirip dengan yang digunakan di sini. Syok betul tengok!
Netizen mula terpukau dengan transformasi ini, ramai yang memuji bagaimana kereta itu tampak benar-benar serupa dengan Kelisa asal. Ada yang merasa bangga sebagai rakyat Malaysia kerana melihat model tempatan ini mendapat perhatian dari orang luar. Ironinya, ramai rakyat Malaysia yang biasanya mengubah suai kereta tempatan mereka agar kelihatan seperti kereta luar negara.
Jadi, apa pendapat anda tentang transformasi ini? Menarik, kan?
Artikel ini ditulis dengan sumbangan Alia.
Ikuti kami di Instagram, Facebook atau Telegram untuk kemas kini dan berita terkini.