Lelaki dibelasah angkara jalin hubungan dengan isteri orang


PETALING JAYA: Gara-gara menjalinkan hubungan dengan isteri orang, seorang lelaki cedera parah akibat dipukul suami kekasihnya serta beberapa individu dalam kejadian di Ampang Jaya, Selangor pada 23 Januari lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pukul 7.30 pagi apabila seorang wanita yang juga kerani berusia 25 tahun dan rakannya datang ke Ampang  mengenai isu salah faham.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengadu bersama rakannya telah berjumpa dengan suspek di kedai makan di lokasi kejadian pada 10.15 pagi.

Katanya, suspek kemudian memukul mangsa sehingga mengakibatkan hidungnya berdarah, sebelum dibawa ke sebuah pondok.

“Suspek kemudian memukul mangsa sehingga dia tidak sedarkan diri. Pengadu telah membawa rakannya itu ke Hospital Selayang untuk rawatan selanjutnya.

“Susulan itu, lima individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 32 tahun ditahan secara berasingan sekitar Ampang dan di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru pada kelmarin dan semalam.

“Kita turut merampas enam telefon bagi membantu siasatan. Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai sembilan rekod lampau dan satu rekod masih dikehendaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Azam berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati dan marah terhadap mangsa kerana ingin melarikan isterinya.

Jelasnya, semakan telefon bimbit suspek mendapati terdapat rakaman video kejadian mangsa dipukul di kawasan Ampang dan Selayang.

“Mangsa berusia 24 tahun itu dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di hospital.

“Kita sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan. Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat ini,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply