PETALING JAYA:  Datuk Abdul Latif Romly terpaksa menelan kekecewaan apabila meraih pingat perak menerusi acara akhir lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Abdul Latif gagal mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2020 di Tokyo.

Pada aksi yang berlangsung di Stade de France itu menyaksikan lompatan atlet berusia 27 tahun itu meningkat dari permulaan sehingga lompatan ketiga yang mencatat sejauh 7.45 meter (m).

Namun, Abdul Latif yang kelihatan sedikit gemuruh menyebabkan baki tiga lompatannya dibatalkan berikutan melebihi garisan.

Atlet Bebas Paralimpik (NPA), Matvei Iakushev meleburkan hasrat Abdul Latif yang mengidam pingat emas ketiga berturut-turut di pentas Paralimpik selepas melakukan catatan 7.51m.

Pingat gangsa menjadi milik Jhon Sebastian Obando Asprilla selepas mencatat lompatan sejauh 7.38m.

Untuk rekod, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod terbaik musimnya yang mana sebelum ini ialah 7.37m. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply