KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk memenangi emas hatrik pada Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pada aksi final acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) yang berlangsung di Stade de France, Paris sebentar tadi, juara dunia empat kali itu melakukan catatan terbaik 7.45 meter (m) pada percubaan kedua.

Keputusan itu sekali gus meleburkan harapannya untuk menyambar pingat emas ketiga berturut-turut selain gagal menghadiahkan emas ketiga buat kontinjen negara pada temasya Paralimpik kali ini apabila dipintas pencabar dari Rusia, Matvei Iakushev pada percubaan terakhir.

Hasrat Latif untuk memintas Iakushev pada lompatan terakhir bagaimanapun tidak berjaya apabila percubaan tersebut dibatalkan.

Pingat emas kekal menjadi milik Iakushev selepas melakukan lompatan dengan jarak 7.51m manakala gangsa dimenangi Jhon Obando dari Colombia (7.38m).

Paralimpik Paris merupakan penampilan ketiga Latif di temasya sukan terbesar dunia itu dengan dua edisi terdahulu menjadi penyertaan paling cemerlang apabila memenangi pingat emas berturut-turut, masing-masing pada Paralimpik Rio 2016 dan Paralimpik Tokyo 2020.

Biarpun tidak dapat membawa pulang pingat emas pada edisi kali ini, namun rekod dunia 7.64m yang dilakukan Latif ketika muncul juara di Sukan Para Asia Jakarta-Palembang 2018 masih kekal menjadi miliknya.

Selain itu, lompatan dengan jarak 7.45m yang dilakukan sebentar tadi merupakan catatan terbaiknya musim ini, memadam catatan 7.30m yang dilakukan ketika memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun Mei lalu – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply