Langit Pasir Gudang ‘berwarna-warni’, FLLSPG 2024 bermula


JOHOR BAHRU: Jika masih merancang ke mana hendak membawa anak-anak sempena cuti sekolah ini, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2024 mungkin program yang sesuai untuk dikunjungi.

Ini kerana festival selama sembilan hari yang bermula hari ini di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang me­nyajikan pelbagai acara menarik kepada para pengunjung.

Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, festival tersebut merupakan acara tahunan terbesar dunia dan berprestij serta telah disenaraikan dalam Kalendar Acara Pelancongan Negeri Johor yang dimulakan sejak tahun 1995.

Katanya, penganjuran FLLSPG 2024 oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Tourism Johor, Majlis Pelayang Malaysia, Persa­tuan Pelayang Negeri Johor dan beberapa agensi berkaitan me­nyaksikan penyertaan seramai 130 pelayang dari 39 buah negara termasuk negara Argentina, England, Kanada, Jerman, Jepun, China. Ireland, New Zealand dan Thailand

Katanya, di peringkat kebangsaan, lebih 400 peserta dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam pelbagai kategori pertan­dingan yang dianjurkan da­lam festival tersebut.

“Penganjuran festival edisi ke-26 ini menyasarkan kehadiran pengunjung seramai 500,000 orang bagi menyaksikan para pelayang antarabangsa dari seluruh dunia bergabung untuk memperlihatkan hasil seni dan kreativiti masing-masing melalui pelbagai bentuk layang-layang besar berwarna-warni dan kecil menghiasi ruang udara Bukit Layang-Layang serta persembahan layang-layang daripada pelayang dari seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, bagi meneruskan kemeriahan festival yang berlangsung saban tahun itu, Persatuan Pelayang Johor bekerjasama dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang akan mengadakan pertunjukan stunt kite bagi menarik golongan muda melibatkan diri dalam permainan layang-layang selari dengan tema festival pada tahun ini, iaitu ‘Budaya Dinamik’.

Selain itu, para pengunjung juga akan menyaksikan para pelayang antarabangsa dan kebangsaan bergabung bagi memperlihatkan hasil seni dan kreativiti masing-masing menerusi pelbagai keunikan serta kesenian yang penuh dengan motif tersendiri.

Bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke tapak festival, pihak penganjur telah menjalin kerjasama dengan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) untuk menyediakan pengangkutan berjadual secara percuma kepada orang ramai di lokasi-lokasi terpilih di sekitar bandar raya Pasir Gudang.

Festival tersebut dijadual diras­mikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada pukul 8 malam, 2 Mac, manakala majlis penutupan pada 3 Mac oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply