KUCHING, 19 Okt: Acara Kuching Comic-Con (KCC) 2024 menjadi platform terbaik untuk mempromosikan budaya Pop Barat serta sebagai hab budaya yang menarik peminat dari seluruh negara, kata pengasasnya, Musriffin Sani.
Menurutnya, program yang julung kali diadakan di Kuching itu turut memberi peluang kepada penggiat animator dan ilustrator tempatan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada pengunjung yang datang.
“Kami memberi platform kepada mereka yang menjadi komik artis, ilustrator ataupun animator dan memberi mereka peluang untuk bertemu dengan pengunjung.
Jadi, mereka akan menunjukkan kemahiran mereka dan juga pengunjung berpeluang mengetahui mereka dengan lebih dekat.
“Kebanyakan mereka ini bekerja dari belakang takdir seperti animator kartun. Contohnya, kita bawakan Gecko yang merupakan animator dan pengeluar yang mengeluarkan animasi-animasi yang popular di Malaysia. Contohnya, ‘Didi and Friends’ , Nakamato dan Boboiboy. Semua orang tahu, namun orang tidak mengetahui disebalik tabir. Jadi, ini adalah masa yang sesuai untuk kami mengetengahkan orang yang di belakang tabir untuk animasi-animasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas merasmikan Kuching Comic-Con (KCC) 2024, di Cityone Megamall, Kuching pada Sabtu.
Sehubungan itu, Comic-Con juga menggabungkan dan meraikan juga budaya popular dari negara-negara lain dan ini termasuk-lah budaya Cosplay dan Anime dari Jepun kerana penganjuran program ini turut meraikan budaya-budaya popular yang datang dari seluruh pelusuk dunia.
Berbeza daripada acara Cosplay yang memberi tumpuan kepada budaya animasi (anime) dan komik (manga) dari Jepun, Comic-Con mengetengahkan budaya popular yang berasal dari negara-negara Barat terutamanya dari Amerika Syarikat.
Menyifatkan penganjuran terbaik, Musriffin optimis penganjuran KCC mampu dianjurkan hingga ke peringkat antarabangsa melalui sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak.
“Kita memang mengharapkan supaya program ini akan menjadi lebih besar dengan produksi yang lebih besar. Justeru, kita dapat membawa animator, pelakon-pelakon daripada luar negara untuk datang ke Kuching.
Comic Con adalah sesuatu yang baharu namun ia diyakini akan meningkatkan sektor pelancongan di wilayah ini.
“Dalam bentuk konteks lain, saya berharap melalui penganjuran program ini, kita mampu mendapatkan sokongan yang lebih baik terutamanya daripada kerajaan Negeri Sarawak dan juga daripada rakan media. Besarlah harapan saya untuk menganjurkan Kuching Comic Con International suatu hari nanti,” ujarnya.
Program anjuran dengan kerjasama Pickers Zone Co. (PZC) bukan sahaja mewujudkan ruang mesra bagi peminat budaya pop malah turut menjadi anjakan paradigma yang berkesan dalam mempromosikan bakat tempatan dan pertumbuhan komuniti setempat.
Menariknya program kali ini akan diwarnai dengan pengisian seperti pameran, pertandingan cosplay Barat, gerai foto, Superhero Science, permainan dalaman, latihan Jedi dan bengkel penulisan komik.
Bagi memeriahkan lagi suasana, Kuching Comic-Con turut menjemput artis komik, ilustrator, dan animator tempatan iaitu artis komik Gayou, penerbit, dan animator suara, Khairul Ammar Jamal atau dikenali sebagai ‘Gecko’ dan selebriti pempengaruh iaitu Adam John.
Program yang berlangsung selama dua hari iaitu 19
hingga 20 October 2024, bermula 10.00 pagi hingga 9.00 malam diadakan di Cityone Megamall di sini.-TVS