KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetap mengekalkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi setiap bulan.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh, menjelaskan keputusan ini diambil berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, yang menunjukkan hampir 80% daripada 7.9 juta isi rumah di negara ini menggunakan 30.3 juta tan minyak masak sebulan. Di samping itu, industri mikro pula memerlukan sekitar 21,280 tan sebulan.
“Dengan kuota 60,000 tan ini, kita yakin dapat memenuhi keperluan isi rumah dan industri mikro,“ ujarnya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai jumlah subsidi yang dibelanjakan untuk Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) tahun 2024 dan sama ada KPDN bersedia untuk menambah kuota minyak masak bersubsidi.
Fuziah turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mengeluarkan RM1.945 bilion untuk program ini, dengan RM845 juta dari Belanjawan 2024 dan RM1.1 bilion dari ‘supplementary bill’.
Lebih menarik, KPDN sedang merancang untuk memperkenalkan sistem ID bagi membolehkan pengguna membeli minyak masak paket. “Sistem ini akan membantu kita mengenal pasti warganegara Malaysia yang layak untuk mendapatkan bekalan, selain mengatasi masalah penyalahgunaan,“ katanya sambil merujuk kepada soalan tambahan oleh Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) tentang kemungkinan memberi subsidi terus melalui MyKad.