‘In trend’ atau gaya yang tengah popular bukan hanya mempengaruhi dunia fesyen. Sebaliknya tatarias dalam ruang rumah tidak terkecuali.
Berbaki lagi sebulan untuk menghampiri pembukaan tahun 2025, wajar kita meninjau jangkaan konsep hiasan ruang dalam rumah yang bakal popular.
Biasanya perunding atau pereka dalaman menjangkakan dua tiga konsep baharu bakal ‘meletus’, Pengasas MamyHome Mohd Amin Mohd Yussoff, lebih gemar melihat trend dekorasi dalam ruang rumah mengikut latar belakang sosioekonomi individu.
Kata Mohd Amin, realiti
dalam pemilihan tatarias rumah bergantung kepada gaya hidup mereka.
“Realiti bagi konsep hiasan dalam rumah membabitkan pemilik di Malaysia kebanyakan memilih bersandarkan gaya hidup mereka.
“Lebih mudah untuk saya jangkakan konsep yang menjadi ‘trending’ tahun depan mengikut sosioekonomi atau gaya hidup mereka.
“Bermaksud pemilihan konsep oleh pemilik rumah mengikut status kemampuan atau pendapatan isi rumah iaitu B40, M40 dan T20.
“Ia bukan kasta atau berniat membezakan golongan ini, tetapi realiti untuk belanjawan termasuk kos mendekorasi rumah pastinya bergantung kepada kemampuan,” katanya.
Tidak hairan untuk industri hiasan dalaman (ID), pemilik rumah di negara ini juga penuh versatil kerana konsep berbeza mengikut cita rasa dan gaya hidup mereka.
Mohd Amin menjangkakan untuk konsep diminati golongan berpendapatan tinggi atau premium, empat konsep pilihan golongan itu terus kekal popular sehingga tahun depan.
“Setiap tahun kami akan lihat maklum balas selain meninjau trend dunia yang berlaku di platform media sosial.
“Tetapi, untuk Malaysia ada konsep dan ciri-ciri tertentu unik terus menjadi antara konsep popular dijangka tahun depan.
“Bagi golongan T20, saya menjangkakan gaya moden kontemporari, klasik Inggeris, mininalis mewah dan kelainan sedikit ialah eklektik moden.
“Dominasi masih moden kotemporari dengan sedikit penambahan ciri-ciri teknologi pintar bersesuaian dengan peralihan generasi zaman kini yang sudah terdedah secara meluas kepada Kecerdasan Buatan (AI).
“Golongan ini mampu berbelanja untuk mengaplikasi teknologi pintar sebagai sebahagian elemen dalam tatarias rumah.
“Contoh mudah langsir dikawal oleh sensor dan lampu yang berfungsi secara automatik,” katanya.
Cita rasa mungkin berlainan sedikit untuk konsep sedia membabitkan permintaan golongan itu, kata pakar runding itu ialah eklektik moden.
“Eklektik moden pada saya cabaran baharu dan rumit kerana elemen daripada pelbagai budaya dan gaya dalam satu ruang tidak mudah.
“Penggunaan seni dan aksesori unik yang melambangkan keperibadian pemilik rumah contoh seperti gaya ‘Chindo’ (China & Indonesia) atau Maghribi dan Asia semestinya memerlukan bajet besar.
“Ini antara elemen premium yang disukai golongan elit yang gemar kepada nilai eksklusif dan edisi terhad,” katanya.
Manakala trend dijangka terus menambat hati pemilik golongan pertengahan menurut Mohd Amin ialah japandi, skandinavia, moden tropikal dan industri.
“Konsep japandi atau ‘fusion’ Jepun dan skandivania makin mendapat perhatian golongan M20 kerana gabungan intipati idea yang minimalis dan penggunaan perabot ringan sesuai dengan ruang rumah mereka.
“Mood yang selesa dan elemen natural pada tona warna konsep menjadi penarik kerana biasanya golongan ini mahu ruang mereka tampak luas serta kemas.
“Moden tropikal satu lagi konsep yang mengangkat penggunaan material semula jadi seperti rotan, buluh dan kayu pada perabot turut diminati pemilik memiliki gaya hidup sederhana.
“Turut ditampilkan penggunaan tumbuhan hiasan dalam rumah untuk wujudkan persekitaran malar hijau kerana golongan ini biasanya tinggal di rumah tiada laman bertanah atau di lokasi tumpuan dalam bandar,” katanya.
Mohd Amin berkata, kreativiti dan inovasi menjadikan pemilik rumah kurang berkemampuan berpeluang memiliki konsep sesuai dengan keperluan dan gaya hidup semasa.
“Uniknya pemilik rumah golongan B40, mereka juga tidak ketinggalan merias ruang dalam kediaman mengikut trend popular.
“Golongan ini mengambil kira elemen praktikaliti pada fungsi ruang selain kos efektif sebagai pemilihan konsep diguna untuk merias rumah.
“Konsep moden praktikal iaitu penggunaan perabot modular (perabot mudah dipasang dan dibuka) antara elemen dalam pemilihan perabot.
“Tona warna cerah bagi mencipta ilusi luas dan selesa antara perkara menjadikan konsep itu terus popular,” katanya.
Kelainan dan kreativiti luar jangka golongan pemilik rumah itu juga menyebabkan gaya bohemian (boho) antara konsep popular selain ‘modern rustic’ dan minimalis industri.
Golongan itu tertarik kepada konsep menggunakan fabrik berwarna-warni, hiasan tangan dan tekstur berlapis.
“Ini juga sesuatu cabaran buat penggiat industri hiasan dalaman terutama perunding hiasan yang perlu kreatif dan inovatif apabila menawarkan khidmat kepada pemilik rumah berbeza.
“Saranan saya kepada bakal pemilik rumah dapatkan panduan dan tip terutama daripada perunding hiasan dalaman terlebih dahulu sebelum merias atau membina rumah supaya mereka dapat konsep sesuai dengan keperluan.
“Ini juga mengelak daripada insiden kerugian ditanggung pemilik apabila terpaksa melakukan pengubahsuaian besar-besaran akibat konsep tidak seiring dengan reka bentuk bangunan,” katanya.