KUALA LUMPUR : Komited terhadap kerja, penyanyi, Shila Amzah,34, mendedahkan, dia bakal kembali aktif bekerja lebih awal daripada yang sepatutnya meskipun belum habis berpantang 44 hari.

Menurut Shila atau Nurshahila Amir Hamzah, dia terpaksa membuat keputusan itu kerana perlu menyelesaikan beberapa tugasan persembahan termasuk ke luar negara.

“Saya perlu bekerja selepas habis 44 hari berpantang, mungkin juga tak sempat habis pantang. Ada baki dua hari lagi sebelum selesai pantang.

“Tapi saya tidaklah kerja setiap hari, ada jarak hari dan masa. Ada yang perlu ke China dan Hong Kong juga,” katanya.

Shila berkongsi perkara itu menerusi ruangan soalan yang dibuka di Instastory, hari ini.

Menyedari pentingnya menjaga kesihatan selepas bersalin, penyanyi lagu Masih Aku Cinta ini memberitahu dia tetap mengutamakan waktu rehat dan bukanlah bekerja setiap hari.

Pada 9 Mei lalu, Shila selamat melahirkan cahaya mata perempuan seberat 2.84 kilogram di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

Shila bersama suami iaitu Ubai atau Muhammad Ubaidilillah Mohd Zulkefli, 26, bersepakat memberi nama bayi mereka, Rhea Akira yang membawa maksud kemenangan dan terang.

Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai pada 5 Ogos tahun lalu.

Sebelum itu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.





Source link

Leave a Reply