BERLIN: Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilantik sebagai ketua operasi bola sepak di Red Bull yang memiliki beberapa kelab seperti RB Leipzig, Salzburg dan New York.
Klopp meninggalkan Liverpool pada penghujung musim lalu selepas sembilan tahun mengendalikan The Reds di mana dia berjaya membawa kelab itu memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Peranan baharu pengendali berusia 57 tahun itu bersama gergasi minuman tenaga Austria berkenaan bagaimanapun tidak akan membabitkan bimbingan secara langsung.
“Saya melihat peranan saya sebagai mentor bagi jurulatih dan pengurusan kelab Red Bull.
“Selepas hampir 25 tahun di tepi padang, saya teruja untuk terbabit dalam projek seperti ini.
“Peranan mungkin berubah tetapi minat saya terhadap bola sepak dan orang-orang yang menjadikan permainan ini seperti sekarang, tidak pernah pudar,” katanya.
Pada masa sama, Klopp menekankan bahawa peranannya adalah pada peringkat global.
“Saya ingin membangunkan, memperbaiki dan menyokong bakat bola sepak yang luar biasa yang kami miliki.
“Terdapat banyak cara untuk kami melakukan ini daripada menggunakan pengetahuan dan pengalaman elit yang dimiliki oleh Red Bull hingga mempelajari daripada sukan dan industri lain.
“Bersama-sama kita boleh meneroka apa yang mungkin. Pada akhirnya, saya adalah sebahagian dalam organisasi yang unik, inovatif dan berwawasan. Seperti yang saya katakan, ini benar-benar membuatkan saya teruja,” ujarnya.
Klopp akan memulakan tugasnya pada 1 Januari 2025.
Dilaporkan, kontrak Klopp termasuk klausa yang membenarkan dia mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan Jerman sekiranya dia ditawarkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.