JOHOR BAHRU: Insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan kes terpencil dan tidak seharusnya dijadikan sebagai indikator bahawa ibu negara tidak lagi selamat untuk dihuni.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sebaliknya menegaskan, Kuala Lumpur dan bandar raya utama lain di negara ini kekal selamat untuk dikunjungi dan didiami.

“Semua negeri di Malaysia ada melakukan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di ibu negara. Bukan sahaja Kuala Lumpur tetapi juga di Johor, Perak dan lain-lain. Kesemua kerja pemetaan ini memang dijalankan sepanjang masa secara berfasa.

“Langkah itu penting bagi memastikan Malaysia dan Kuala Lumpur selamat. Jangan kerana ‘isolated case’ seolah-olah negara kita tidak selamat didiami, itu tidak betul,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci dan Pelancaran Bomba Komuniti Residensi Pelangi Indah, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Kor Ming, pelaksanaan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di ibu negara turut dibuat melibatkan kediaman bertingkat atau strata.

“Apabila pakar dah sahkan selamat, baru boleh bagi perintah pembangunan. Struktur bangunan kita memang selamat kerana kita mempunyai standard yang tinggi,” jelasnya.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong dari India, G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply