KUALA LUMPUR – Skuad Kuala Lumpur City (KL City) mempamerkan aksi lima bintang untuk menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 pada aksi Liga Super sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Warga Kota membariskan kesebelasan terbaik dengan Paulo Josue, Jovan Motika dan Zhafri Yahya mengetuai jentera serangan.

Seperti dijangka, skuad Sang Kenari kendalian Nafuzi Zain hanya mempertaruhkan skuad ‘B’ selepas beberapa pemain utama membuat keputusan untuk ‘boikot’ sesi latihan bulan lalu ekoran konflik gaji.

Skuad tuan rumah dilihat tidak menunggu lama untuk mendahului hasil jaringan Motika selepas menerima hantaran Zhafri seawal minit ke-14.

Jaringan tersebut menaikkan semangat KL City untuk menggandakan jaringan dengan Hazrie Balqief Zulhadi tertampan gol di laman sendiri pada minit ke-23.

Pasukan tuan rumah semakin garang dengan giliran Zhafri pula mencetak nama selaku penjaring menerusi gol sepakan percuma berselang dua minit kemudian.

Bersambung pada babak kedua, Josue mencetak sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City dengan meledak gol keempat pada minit ke-49.

Josue memastikan KL City menamatkan saingan dengan gemilang apabila meraih gol kedua peribadi pada minit ke-59 dengan keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.





Source link

Leave a Reply