PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat pengambilan sebanyak 3,950 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi lantikan kontrak (interim).
KKM dalam kenyataan memaklumkan, mana-mana calon berkelayakan boleh memohon pelantikan menerusi iklan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 18 hingga 31 Julai ini.
Katanya, pengambilan ini meliputi 3,200 pegawai perubatan, pegawai pergigian (350) dan pegawai farmasi (400) serta baki calon yang memenuhi syarat lantikan mengikut skim perkhidmatan akan dijadikan sebagai calon simpanan.
“Tawaran ini terbuka kepada calon yang telah dilantik kontrak (contract of service) mengikut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 sama ada sedang berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat di KKM.
“Iklan pengambilan SPA ini selari dengan keputusan kerajaan berhubung pelantikan secara kontrak (interim) mulai 1 Februari lalu hingga suatu kaedah lantikan tetap baharu diperkenalkan,” katanya hari ini.
Jelas KKM, kategori calon yang layak memohon jawatan berkenaan adalah sedang berkhidmat di KKM, telah berkhidmat hingga tempoh maksimum kontrak tujuh tahun bagi pegawai perubatan dan maksimum lima tahun bagi pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
“Selain itu, calon yang telah ditamatkan perkhidmatan bukan disebabkan kesalahan tatatertib, telah menolak tawaran penyambungan kontrak baharu, telah menolak tawaran pelantikan tetap atau yang telah meletak jawatan,” ujarnya.
Calon yang berminat dan layak disarankan untuk membuat permohonan menerusi portal SPA9 iaitu dan mengisi kesemua maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan betul sebelum atau pada tarikh tutup iklan.
Ujar KKM, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak (interim) ini berpeluang untuk dilantik secara tetap tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan. – KOSMO! ONLINE