SEREMBAN: Dutch Lady Milk Industries Bhd. (DLMI) menjangkakan bakal memulakan keseluruhan operasinya di hab pembuatan baharu bernilai RM540 juta di Bandar Enstek, di sini, sekurang-kurangnya pada suku ketiga tahun ini.

Pengarah Urusannya, Ramjeet Kaur Virik berkata, kemudahan yang terletak di kawasan seluas 13.2 hektar di hab halal Bandar Enstek itu juga adalah tiga kali ganda lebih besar dari kemudahan DLMI di Petaling Jaya dan mempunyai kapasiti pengeluaran dua kali ganda sebaik beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, DLMI@Enstek merupakan komitmen besar syarikat berkenaan untuk mengeluarkan produk tenusu berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia dan rantau ini.

“Pelaburan besar ini juga merupakan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Invest Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Selain itu, pelaburan ini juga merupakan komitmen kukuh ke arah membina perkongsian awam-swasta jangka panjang untuk membantu meningkatkan sektor tenusu Malaysia khususnya dalam pengeluaran susu mentah serta memerangi tiga kali ganda beban kekurangan zat makanan dalam pelbagai segmen masyarakat,” katanya pada majlis perasmian, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berkenan hadir merasmikan kemudahan baharu tersebut.

Dalam pada itu, Ramjeet berkata, pembinaan di bawah fasa satu telah siap dan kebanyakan pekerja syarikat berkenaan sudah berada di lokasi tersebut dengan kumpulan terakhir berpindah ke sini bulan depan.

Menurutnya, DLMI juga merupakan pembeli terbesar susu segar tempatan di mana ia mendapat 55 peratus daripada bekalannya daripada petani tempatan.

“Kami juga mempunyai tanah tambahan di sebelah bangunan utama semasa, jadi sebenarnya kami boleh mempunyai empat kali ganda kapasiti yang kami ada di Petaling Jaya jika ada keperluan dan permintaan yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, menurut Ramjeet, DLMI@Enstek juga akan dibuka kepada orang ramai di mana mereka akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai proses, kebajikan haiwan dan industri tenusu.

DLMI merupakan syarikat tenusu terkemuka negara dan mula beroperasi di Malaysia pada tahun 1963 dengan pembukaan kilang PJ. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply