KUALA LUMPUR: “Pemuda PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan dan sikap DAP yang menjadikan isu mengibar bendera China ini sebagai isu perkauman, sedangkan ia merupakan isu kedaulatan negara.”
Ketua Penerangannya, Nadzi Helmi dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendesak DAP untuk menyatakan secara jelas apakah pendirian mereka berhubung isu tersebut dan tidak menjadikan isu tersebut sebagai isu perkauman yang akhirnya mencetuskan ketidakharmonian sesama rakyat Malaysia.
“Mengambil maklum kenyataan jurucakap Melayu kepada DAP, Syahredzan Johan yang kononnya menjadikan alasan sentimen perkauman bagi menyatakan pendirian kerisauan rakyat Malaysia dalam isu kibaran bendera China, Pemuda PAS mendesak apakah pendirian DAP dalam isu ini?” katanya.
Menurutnya, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) berkenaan kesalahan dalam mengibarkan bendera asing di tempat awam menyatakan pendirian yang jelas bahawa perkara ini ternyata menyalahi undang-undang.
“Sehingga kini yang didengari oleh pihak DAP hanyalah alasan ‘spin’ seolah-olah mahu melihat isu ini bukanlah isu perundangan dan kedaulatan negara, tapi mencari alasan untuk tidak berpendirian terhadap perkara ini,” tegasnya.
Menurutnya lagi, ia belum lagi reda berkenaan insiden di Pulau Pinang dan pencerobohan perairan oleh China, DAP pula masih lagi berdiam diri dan terus menggunakan sentimen perkauman bagi mengelak untuk berdiri teguh mempertahankan kedaulatan negara.
“Sedangkan MCA pula sudah jelas menyatakan pendirian bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan mengibarkan bendera China sesuka hati tanpa sebab yang kukuh,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024