SEPERTI yang dijangka, pasangan beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melangkah ke pusingan kedua kejohanan badminton China Terbuka 2024 selepas menewaskan pasangan India, Reddy B. Sumeeth-Reddy Sikki hari ini.

Pasangan Malaysia yang menduduki tempat ke-17 di dunia itu tidak menghadapi masalah untuk menang dengan keputusan 21-10, 21-16 dalam masa 31 minit.

Esok, mereka akan berdepan dengan pasangan Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund, yang menewaskan pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun dengan keputusan 14-21, 22-20, 21-16 dalam pusingan pembukaan.

Pasangan campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Yu Sin juga mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dengan keputusan 21-17, 21-16.

Pang Ron-Yu Sin seterusnya akan menentang rakan sepasukan, Yap Roy King-Valeree Siow, yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Harapan pasangan beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk bermain di pusingan kedua musnah apabila mereka tewas kepada juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae dari Korea Selatan dengan keputusan 21-10, 21-18.

Min Hyuk-Sung Jae akan bertemu dengan pasangan Malaysia yang lain, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang menewaskan pasangan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dengan keputusan 21-17, 21-19 dalam pusingan pertama semalam.



Source link

Leave a Reply