Bar Malaysia menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai penangguhan berterusan dalam pelantikan Ketua Hakim Malaya (“CJM”), jawatan yang telah kosong sejak akhir bulan Februari tahun ini.
Sementara Bar menghargai usaha cemerlang YAA Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, yang telah memegang jawatan sebagai CJM sementara di samping peranannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Presiden Bar Malaysia merasakan adalah penting untuk mengakui bahawa kedua-dua jawatan ini direka untuk menjadi berbeza, masing-masing dengan tanggungjawab tersendiri yang memberi tumpuan kepada tahap yang berbeza dalam sistem Mahkamah. Hakikat bahawa jawatan-jawatan ini secara sejarahnya dipegang oleh individu yang berbeza juga menekankan kepentingan mengekalkan pemisahan fungsi kehakiman yang kritikal ini.
Bar Malaysia menyatakan bahawa mereka telah mengikuti perbincangan awam tentang isu ini dan seiring dengan kebimbangan masyarakat bahawa kekosongan berterusan dalam jawatan penting ini boleh merosakkan persepsi kestabilan dan kepimpinan dalam Kehakiman. “Peranan CJM bukan sekadar simbolik tetapi adalah penting dalam mengawasi Kehakiman, memastikan pentadbiran keadilan berjalan lancar, dan mempertahankan kebebasan mahkamah.”
Bar juga menyatakan bahawa tidak nampak sebab yang baik untuk penangguhan dalam pelantikan CJM yang baru kerana golongan peguam yang berkelayakan dan berbakat banyak wujud di dalam profesyen ini. CJM memegang banyak fungsi penting berkaitan dengan pentadbiran Mahkamah Tinggi di Malaya. Salah satu tanggungjawab utama CJM adalah pengagihan kes-kes antara Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi.
Dengan mengakui pentingnya peranan CJM dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keyakinan awam yang berterusan terhadap sistem perundangan, Bar Malaysia mendesak agar pelantikan CJM yang baru dipercepatkan. Sebarang kelewatan selanjutnya berisiko untuk menggugat kemajuan yang telah dicapai oleh Kehakiman kita dan boleh menghalang pentadbiran keadilan yang berkesan.