DRIVER Malaysia memang terkenal dengan perangai parkir yang selfish.
Kita sering lihat kejadian double-parking, reservasi tempat parkir dengan kerusi plastik, malah ada yang ‘manusia parkir’ – berdiri di satu tempat untuk simpan ruang parkir untuk kereta lain. Memang kreatif!
Sayangnya, tabiat parkir yang teruk ini kini menjadi tumpuan negara jiran kita.
Seorang pengguna TikTok, dingsim, baru-baru ini memuat naik video yang jadi viral tentang sebuah kenderaan berdaftar di Malaysia yang parkir secara haram di tepi jalan.
Dalam video berdurasi 24 saat itu, sebuah Toyota Vellfire putih terparkir dalam kotak putih di sebelah kiri jalan, tepat di hadapan lampu isyarat.
Seorang anggota polis Thailand boleh dilihat sedang memasang pengapit pada salah satu tayar Toyota Vellfire tersebut.
“Wahai rakyat Malaysia, negara saya ada undang-undang,” tulis dingsim dalam kapsyen videonya, dengan bijak mengingatkan pemandu Malaysia agar tidak boleh sembarangan parking di Thailand.
Menurut peraturan parkir di Thailand, terdapat tanda khas pada tebing jalan dan tiang lampu yang menunjukkan kawasan parkir dibenarkan atau tidak.
Contohnya, jika tepi jalan ada tanda merah dan putih, itu adalah kawasan larangan parkir.
Video TikTok tersebut telah meraih 347,000 tontonan, 11,000 suka, dan lebih daripada 400 komen daripada netizen Malaysia yang mengecam pemandu Toyota Vellfire tersebut kerana tidak mematuhi peraturan negara itu.
“Masuk Thailand, orang ada bagi tahu jangan parkir dekat garisan merah dan putih, nanti tayar kena clamp,” nasihat pengguna TikTok najwafarahana097.
Beberapa netizen juga minta maaf di ruangan komen kepada dingsim kerana tingkah laku parkir Vellfire itu.
“Maaf jiran, nombor plat P memang selalu bermasalah,” kata Ryan Itamio.
“Dia ingat ini negeri dia, boleh park sesuka hati,” komen pengguna lain.