Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Digital, baru sahaja melancarkan platform pembelajaran Rakyat Digital. Ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan program “AI Untuk Rakyat” yang telah memperkenalkan asas kecerdasan buatan (AI) kepada lebih 1 juta rakyat Malaysia. Inisiatif baharu ini bertujuan untuk mengumpulkan sumber pembelajaran digital dalam satu platform yang mesra pengguna.
Platform Rakyat Digital menawarkan tiga kursus asas: “CyberSAFE Untuk Rakyat” yang memberi fokus kepada risiko digital dan keselamatan; “Generative AI” yang membahas tentang kecerdasan buatan generatif; dan kesinambungan program “AI Untuk Rakyat” untuk pengetahuan asas AI. Tak lama lagi, dua kursus baru akan ditambah: “Data Untuk Rakyat”, yang direka untuk membantu pengguna memahami dan menggunakan data dalam kehidupan seharian; serta “Cloud Untuk Rakyat”, yang bertujuan untuk memampukan individu menggunakan teknologi awan dalam kehidupan harian mereka.
Semua kursus di Rakyat Digital adalah percuma dan peserta akan mendapat sijil setelah menamatkan kursus dengan jayanya. Pendaftaran turut mudah dengan menggunakan akaun Google atau melalui emel di laman rasmi program.
Penting untuk diingat, domain ai.gov.my yang sebelum ini digunakan untuk inisiatif ‘AI Untuk Rakyat’ kini telah berpindah ke Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang juga dilancarkan hari ini. Jadi, untuk akses ke program Rakyat Digital, sila kunjungi laman rakyatdigital.gov.my.
Ikuti kami di Instagram, Facebook, Twitter atau Telegram untuk lebih banyak kemas kini dan berita terkini.