Untuk SPM 2023, lebih dari 11,000 pelajar berjaya mendapat A penuh dalam peperiksaan, sementara sekitar 10,000 pelajar tidak hadir kerana pelbagai alasan. Tahun ini, jumlah pelajar yang tidak mengikuti SPM 2024 hampir sama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan bahawa kementerian kini sedang mengemas kini data kerana terdapat kira-kira 10,000 calon SPM 2024 yang belum mengesahkan kehadiran mereka.
“Kehadiran kini berada pada tahap 97%, jadi ini satu tanda yang baik.”
Menurut Astro Awani, Fadhlina juga menyatakan bahawa kementerian sentiasa bersedia untuk membantu pelajar yang terjejas oleh banjir atau bencana lain.
“Kami bersedia untuk mengaktifkan Op Payung sekali lagi, dan negeri-negeri yang berisiko banjir telah dikenalpasti. Buat masa ini, semuanya terkawal.”
Enam negeri yang dikenal pasti sebagai berisiko banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, dan Sabah.
SPM 2024 bermula pada 2 Disember 2024 dan dijadualkan tamat pada 6 Februari 2025.
Baca juga: “Relax, SPM bukan segalanya” – Lelaki Malaysia yang gagal SPM bangga tentang gajinya RM3.5K