NAMA penyanyi muda dan penulis lirik dari Indonesia, Bernadya, 20, cukup dikenali menerusi karyanya yang memberi inspirasi dan ‘healing’ dalam kehidupan kepada peminat.
Lagu popularnya, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan mendapat 33 juta tontonan di YouTube sejak Jun lalu dan album terbaharunya juga sudah mencecah 100 juta pendengar di Spotify.
Secara peribadi, Bernadya atau nama sebenarnya, Bernadya Ribka Jayakusuma juga mengakui lagu ‘healing’ yang dihasilkan juga berdasarkan pengalamannya sendiri.
“Kebanyakan lagu dihasilkan dari pengalaman saya sendiri kerana saya juga berasa ramai yang merasai apa yang saya rasai.
“Justeru, saya berpendapat perlu menulis pengalaman itu dalam lagu,” katanya.
Lebih bermakna, kata pemenang Anugerah Muzik Indonesia 2013 itu ada seorang pencipta kandungan di media sosial mengakui lagu dihasilkan dapat membantu menyelamatkan dirinya dari melakukan perkara tidak diingini.
“Saya berasa sangat terharu kerana lagu saya, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan dapat membantunya dari mencederakan dirinya,” katanya.
Selain itu, Bernadya turut mengadakan persembahan khusus untuk peminat setianya di The Bee, Publika, Kuala Lumpur.
Bernadya berkata, dia juga sangat teruja menghiburkan peminat menerusi kunjungan pertamanya di Malaysia.
“Saya tidak menyangka sambutan yang sangat baik dari peminat di Malaysia. Ternyata ramai yang dengar lagu saya di sini.
“Saya juga belajar banyak perkara baharu di sini dan pada pandangan saya peminat di sini sangat mesra dan peramah,” katanya.
‘Showcase’ Bernadya, Sialnya Hidup Harus Tetap Berjalan dimulakan dengan lagu pembukaan iaitu lagu kebangsaan Negaraku dan Indonesia Raya pada jam 9 malam.
Kemunculan Bernadya dengan gaun warna hitam di pentas mendapat sorakan peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahannya pada malam itu.
Bernadya meneruskan persembahannya dengan lagu yang dipetik dari single pertamanya berjudul Kini, Mereka Tahu dan Mereka Kata Ini Berlebihan sambil memetik gitar.
Peminat yang hadir juga tidak melepaskan peluang turut sama menyanyi dan meluahkan setiap bait lagu yang dinyanyikannya.
Pada persembahan itu, Bernadya menghiburkan peminat menerusi rangkaian 11 lagu popularnya seperti Kita Kubur Sampai Mati, Siapnya Hidup Tetap Harus Berjalan, Ambang Pintu, Berlari, Lama-Lama, Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan, Terlintas, Satu Bulan dan Apa Mungkin.