“Kalau saya tegur pun, saya takkan beritahu semua orang,” demikian respons pendakwah bebas, PU Riz ketika disoal sekiranya dia ada menegur ahli keluarganya ke arah kebaikan.
Berdasarkan temu bual bersama The Amin Idris Show, PU Riz atau nama lengkapnya, Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, berkata pihaknya mengambil pendekatan untuk menegur ahli keluarga secara peribadi agar tidak terlalu keterlaluan.
“Ramai yang komen, tak tegur ke? Kalau saya nak tegur pun, saya takkan beritahu semua orang.
“Diri saya ini dari dulu sehingga sekarang, saya tak sentuh ‘personal’ seseorang secara berlebihan. Pernah sekali saya buat, itu pun saya sudah minta maaf kepadanya,” katanya.
Suami kepada selebriti dan usahawan jelita, Noor Neelofa ini menjelaskan bahawa dia akan memberi nasihat kepada ahli keluarganya sekiranya terdapat kesalahan.
“Saya berpendapat, apa sahaja yang salah, takkan kita diamkan. Pada keluarga saya dan mentua pun begitu tetapi adakah kita nak bertindak sebagai seorang yang pemarah?. Kita beritahu secara nasihat. Sampai bila nak nasihat? Sampai mati kita beri nasihat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bapa anak dua ini turut sempat menitipkan pesanan agar setiap insan untuk tidak berlebihan ketika menegur seseorang.
“Saya rasa sesiapa sahaja nak buat ‘content’ tentang orang lain, terserah tetapi hati-hati dalam percakapan. Jangan melampau, jangan berlebihan macam dia adalah pendosa yang tidak boleh dimaafkan,” ujarnya lagi.