KUALA LUMPUR: Sebarang kajian membabitkan skim saraan dalam kalangan penjawat awam juga terpakai untuk ahli-ahli politik termasuk wakil rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut ekoran beban kewangan dihadapi kerajaan untuk menampung tanggungan pencen pada setakat ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri sebaik sahaja mendengar pandangan pelbagai pihak dan kajian mendalam melibatkan daripada sudut Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak melibatkan ahli politik. Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, Menteri, Timbalan Perdana Menteri.

“Itu dalam dalam Perlembagaan, itu kita boleh kaji, itu tidak boleh kebelakangkan, itu retrospektif, untuk baharu kita boleh kaji.

“Secara prinsip saya bersetuju apa jua keputusan untuk terpakai juga utk lantikan politik, tapi dimuktamadkan selepas kajian dibawa dan Jemaah Menteri memutuskan,” katanya.

Beliau ditemui ketika makan tengah hari bersama warga kota di Desa Sri Hartamas sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut, di sini hari ini.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan `orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun.

Mengulas cadangan agar penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, Anwar berkata, pihaknya memuktamadkan sebaik sahaja meneliti pandangan pelbagai pihak sebelum perkara itu diputuskan.

Beliau menjelaskan, semua kerajaan termasuk sebelum ini dan mana-mana negara sekali pun mengakui keadaan ekonomi tidak bertahan jika tiada sesuatu dilakukan membabitkan persaraan.

“Jadi dengar dahulu cadangan dikemukakan, bahas dahulu, teliti bagi pandangan apa ubahsuai yang kerajaan perlu lakukan kemudian kita akan muktamadkan,” katanya.

Beliau menambah kenyataan susulan bakal dibuat Menteri Kewangan Kedua dan beliau sendiri untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Beliau berkata, bagi penjawat awam tetap sedia ada, status berpencen mereka tidak pun terjejas, sementara penjawat awam baru itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).





Source link

Leave a Reply