KOTA BHARU:Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menamatkan penantian selama sedekad seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) untuk memiliki MyKad menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) 

Menariknya, MyKad milik Afiq Aiman Muhamad , 22, itu diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias kepada bapanya, Muhamad Abdullah, 68, di rumah mereka di Kampung Chenok, Batu 8, di sini.

Muhamad berkata, Afiq Aiman lumpuh seluruh badan selepas mengalami cirit-birit ketika berusia 13 bulan hanya mempunyai Sijil Kelahiran kerana dia tidak berupaya untuk membawa anaknya mendaftar MyKad di JPN.

“Keadaannya yang terlantar menjadi kekangan buat saya sehingga tidak mampu untuk membawanya pergi ke JPN.

“Saya telah dibantu oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk memohon kad pengenalan pada bulan lalu. Alhamdulillah, pihak JPN datang ke rumah bagi menyelesaikan urusan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Mekar Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Chenok, Batu 8, di sini hari ini.

Muhamad yang juga bapa tunggal berkata, dia berasa amat gembira dan bersyukur kerana anak sulung daripada dua beradik itu akhirnya berjaya memiliki dokumen pengenalan diri.

“Sebelum ini, kami tidak dapat memohon sebarang bantuan kerajaan kerana tidak mempunyai MyKad. Saya perlu menampung perbelanjaan Afiq Aiman yang bergantung sepenuhnya kepada lampin pakai buang dan susu khas.

“Segala perbelanjaan kami hanya bergantung sepenuhnya kepada duit pencen arwah isteri yang meninggal dunia pada 2010 akibat kanser limfoma,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply