JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan mula berpindah ke Ibu Kota Nusantara (IKN) dari 10 September hingga 19 Oktober depan, bersamaan 40 hari.
Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono memaklumkan Jokowi akan menjalankan tugas dari Ibu kota baharu dalam tempoh tersebut dan akan membuat lawatan kerja ke beberapa daerah serta luar kota Nusantara.
“Rancangan beliau adalah untuk berpindah ke IKN hingga 19 Oktober. Kemungkinan beliau berada di sana dari 10 September hingga 19 Oktober,” kata Heru seperti dilaporkan oleh Antara.
Tambahnya, beberapa mesyuarat dengan pegawai berkaitan juga akan diadakan di IKN.
“Beliau akan bekerja sambil mengundang pihak yang berkaitan untuk menghadiri mesyuarat,” katanya lagi.
Heru turut menegaskan Jokowi akan berada di IKN selama 40 hari seperti yang dirancang.
Beliau juga memaklumkan beberapa perkhidmatan awam penting negara seperti Kementerian Sekretariat Negara, termasuk Sekretariat Presiden, telah mula menjalankan tugas di IKN. -AGENSI