KOLUM | Kekacauan kaum selepas Perang Dunia Kedua bukan saja berlaku di Sungai Manik dan Muar. Ia juga berlaku di Lambor, perkampungan asal Abdullah CD, Pengerusi Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).
Meski kekacauan itu dari segi sejarahnya dianggap sebagai ‘kecil’ tetapi ia tetap memberi kesan besar kepada sosiopolitik tempatan.
Naratif orang tempatan menganggapnya sebagai ‘Perang Sabil’ yakni jika terbunuh maka individu terbabit dianggap syahid. Musuh wajib dibunuh.
Kekacauan itu mengubah demografi Lambor dari sebuah pekan pelbagai kaum menjadi sebuah petempatan Melayu sepenuhnya.
Di mana-mana juga di dunia ini, peperangan bukan sekadar mencetuskan kemusnahan harta benda bahkan kecelakaan terhadap manusia dan kemanusiaan.
Perang antara kaum adalah yang paling lazim berlaku selain perang kerana ideologi dan ekonomi. Bahkan kadangkala ketiga-tiga itu menjadi satu kepada asbab peperangan.
Paling parah adalah pensejarahan konflik antara kaum sering digunakan berulang kali demi meraih sokongan dan kuasa.
Tempat aktif KMM
Sejarah lama sering diungkap dengan bahasa baru bagi menyala bara dalam sekam. Dendam manusia tidak mati ditelan waktu. Akan wujud watak membangkitkan fitnah yang sedang tidur.
Apabila tentera Jepun menyerah kalah kepada pasukan Bersekutu, tiada pihak berkuasa yang benar-benar wibawa menguasai Tanah Melayu.
Buku-buku sejarah di sekolah menghalakan PKM yang menjadi puna membuat onar hingga berlaku pertempuran antara kaum, manakala PKM sebaliknya mendakwa British sebagai dalang kepada suasana anarki ketika itu.
Dalam memoir Abdullah CD, kekacauan itu juga disebabkan golongan yang mengambil kesempatan dalam keadaan ketidaktentuan. Abdullah C.D menyebutnya sebagai penyamun.
Salah satu peristiwa yang terus kekal dalam pemikiran masyarakat setempat ialah pertempuran antara kaum adalah di Lambor. Kawasan itu menjadi salah satu tempat pergerakan aktif Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Ketika KMM diharamkan oleh Jepun, sebahagian daripada ahli KMM Lambor – termasuk Abdullah CD – menyertai Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) yang menentang pendudukan Jepun.
Kira-kira beberapa tahun lalu, saya berhenti di sebuah warung kopi di hujung kampung Lambor. Ada beberapa pengunjung sedang berbual-bual. Saya memesan segelas teh tarik.
Menyedari saya orang luar – sesuai dengan budaya orang Melayu yang ramah kepada tetamu – mereka bertanya khabar dan mengajak berbual.
Saya pun menerangkan hasrat untuk mencari jirat lama di kampung mereka.
“Encik nak pergi ke sana buat apa? Ehh, teman tak berani ke sana. Lebih-lebih lagi kalau ada niat jahat,” kata seorang lelaki berkopiah putih seperti menakutkan saya sahaja. Saya tersenyum tawar.
Banyak kena sodok
Sebelum Perang Dunia Kedua, masyarakat Melayu hidup bersama dengan kaum Tionghua di Lambor.
“Moh, teman bawa tuan ke sana,” tiba-tiba seorang pak cik yang berusia hampir 70-an menawarkan diri.
Saya pun membonceng motorsikal pak cik tersebut. Saya tidak mencatat namanya. Lengguh juga kaki kerana motosikalnya tiada tempat letak kaki.
“Ah, inilah tempatnya, encik,” pak cik itu menunjukkan sebuah padang ragut yang agak luas tetapi tiada seekor kerbau pun di situ.
Dia menghentikan motorsikalnya dan mengajak saya berjalan mencari kawasan bekas jirat yang masih ada. Kebiasaannya jirat orang Tionghua di lereng bukit tetapi di Lambor, padang rata menjadi pilihan. Dan cuma ada beberapa cangkat.
Pak cik itu masuk ke kawasan belukar. Saya mengekorinya. Kebanyakan batu jirat di situ sudah kena sodok sewaktu kerja-kerja meratakan kawasan tersebut.
Tempat yang kami pergi ialah Kampung Talang. Pak cik itu menerangkan sejarah Kampung Talang yang terletak 3km dari jalan utama Bota – Kampung Gajah.
“Dulu ada Perang Sabil di sini,” katanya.
Sebahagian daripada kawasan yang menempatkan jirat itu sekarang dijadikan padang ragut untuk kerbau. Rasa dingin menyapa walaupun matahari di tengah langit cerah. Seram juga.
Barangkali hujan lebat malam tadi sudah mendinginkan hutan itu. Sesekali terkena titisan air yang terjatuh dari dedaun pokok.
“Encik…. ni ha, jiratnya!” kata pak cik yang bermurah hati menjadi membantu pencarian saya. Saya periksa batu itu – tiada tulisan ataupun apa-apa yang boleh dikaitkan sebagai bekas jirat.
Kami tidak puas hati dan terus meredah ke dalam belukar. Harap-harap tiada puteri bunian. Tiba-tiba saya teringat hikayat nenek kebayan di Gunung Ledang.
Pertempuran bersalut agama
Khayalan boleh melahirkan kekuatan sekali gus ketakutan yang amat. Seperti rasa terancama dan keghairahan pada pari-pari dari alam ghaib yang sering memandu semangat dan kesedaran palsu.
Akhirnya, kami temui lima enam batu yang boleh saya nilai sebagai tinggalan batu jirat sebelum Perang Dunia Kedua.
Sebelum perang, orang Tionghua tinggal di situ sebagai pekebun sayur, peniaga dan melakukan kerja-kerja kampung.
Terdapat kedai runcit, kedai emas milik peniaga Tionghua di pekan Lambor Kanan pada sebelum 1940-an.
Ketika itu, pekan Lambor juga mempunyai jeti bagi menjadi terminal pengangkutan hasil keluaran kampung ke kawasan lain dan masyarakat bermobiliti melalui jalan air.
Kekacauan selepas perang dunia ke dua telah menyebabkan kaum Tionghua melarikan diri dan sebahagian yang sempat lari, mereka menuju ke Teluk Intan terutama di Pasir Berdamar.
Sesetengahnya melarikan diri ke Parit,Tronoh, Ipoh dan kawasan sekitarnya.
Pertempuran kaum itu dianggap penduduk tempatan sebagai Perang Sabil. Keadaan yang sama berlaku di tempat-tempat lain di Tanah Melayu ketika itu.
Jika di Muar, khalifah perangnya ialah Kiai Salleh, manakala di Sungai Manik – Patuan Guru Haji Bakri. Di Lambor pula diketuai oleh seorang ustaz.
Pertempuran yang disalut dengan agama sangat nipis untuk dibezakan oleh faktor-faktor lain.
Mereka yang tidak sempat lari, sejarah tidak pernah merakamkan!
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.